Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives March 19, 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad wanita sahut cabaran PSM

KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw wanita bersedia menyahut cabaran yang dilontarkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menghuni kedudukan empat terbaik pada Piala Dunia di Bihar, India yang bermula esok hingga 25 Mac ini.

Ketua jurulatihnya, Rashidi Nordin berkata, pihaknya sudah melakukan persiapan terbaik termasuk menjalani latihan simulasi perlawanan ketika bulan puasa bagi memastikan sasaran itu tercapai.

“Piala Dunia di Bihar adalah penanda aras terhadap kemampuan skuad wanita di mana kita perlu menjadi empat pasukan terbaik di kejohanan itu,” kata Rashidi.

“Kita perlu mendapatkan kedudukan itu bagi memastikan kita dapat melayakkan diri ke Sukan SEA Thailand pada hujung tahun ini dalam kategori A. Jadi ia tanggungjawab yang besar.

“Sebagai persiapan, kami mengadakan latihan berat pada sebelah malam tetapi turut menjalankan latihan di sebelah pagi terutama membabitkan simulasi perlawanan kerana kejohanan di sana berlangsung pada siang hari.

“Kita tidak pernah menghadapi kejohanan ketika bulan puasa jadi ini adalah cabaran tetapi kita sudah bersedia. Pasukan sudah pun membuat ‘kerja rumah’ dan saya lihat semangat juang dan kualiti permainan memang menunjukkan peningkatan.”

Rashidi berkata, skuad negara yang akan beraksi dalam acara regu dan kuadran menyenaraikan rata-rata pemain senior.

“Kita sebenarnya meletakkan fokus dalam acara kuadran dengan mencuba kombinasi regu yang kita ada. Sekalipun kita menyenaraikan ramai pemain senior, kita turut membariskan beberapa pemain junior,” kata Rashidi.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Atlet Terengganu dapat habuan RM1.082 juta

Kuala Terengganu: Kerajaan Terengganu memberikan insentif RM1.082 juta kepada atlet negeri itu ekoran kejayaan dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma Edisi Ke-21 di Sarawak, tahun lalu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah itu, RM927,000 adalah insentif untuk kontinjen Sukma manakala RM155,000 untuk kontinjen Para Sukma.

Beliau berkata, pemberian insentif itu membabitkan 414 atlet Sukma dan 57 atlet Para Sukma yang berusaha keras membanggakan nama negeri. 

Katanya, kontinjen Sukma mendapat 41 emas, 36 perak dan 47 gangsa manakala atlet Para Sukma pula memperoleh 10 emas, 19 perak dan 15 gangsa.”Bagi pemenang pingat emas, atlet akan menerima sebanyak RM3,000, pingat perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,000) dengan pemberian insentif terbesar membabitkan atlet sukan berbasikal Sukma yang menyumbang lima pingat emas, tiga perak dan empat gangsa iaitu sebanyak RM112,000.

“Ini juga kali pertama kita menyalurkan nilai insentif kemenangan yang sama untuk pingat emas, perak dan gangsa kepada atlet Sukma dan Para Sukma selepas melihat semangat yang sangat tinggi selain berkorban masa dan tenaga dengan fizikal mereka yang sedemikian. Jadi tentunya kerajaan negeri memikirkan untuk memberi insentif sebagai menghargai dan motivasi kepada yang lain supaya terus berusaha untuk mencapai yang terbaik,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu Sukma dan Para Sukma Edisi Ke-21 Sarawak 2024 di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Shahrizal Yahaya.Terengganu menduduki tempat kelima di belakang Sarawak, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Pulau Pinang manakala atlet Para Sukma Terengganu berada di tempat kesembilan.

Ahmad Samsuri turut menyeru atlet supaya dapat meningkatkan prestasi bagi memperbaiki kedudukan negeri pada Sukma akan datang di Selangor.

“Kita tidak pernah tercicir daripada tempat ketiga terbaik keseluruhan dan pencapaian keseluruhan kali ini adala pencapaian terendah sejak SUKMA 2008 diadakan.

“Insya-Allah, kita perlu sama-sama mengembalikan kerancakan penguasaan sebagai jaguhan sukan negara dalam Sukma dan para Sukma 2026 nanti,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MTBC kagum semangat pemain boling negara

Kuala Lumpur: Semangat dipamerkan barisan pemain boling negara yang beraksi di Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA) sangat luar biasa biarpun empat pemain negara yang beraksi di Amerika Syarikat itu menggunakan perbelanjaan sendiri.

Pada kejohanan itu Malaysia diwakili oleh Tun Hakim Tun Hasnul Azam yang melakar sejarah mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran PBA selain turut disertai juara Asia, Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol, dan Timmy Tan.

Ia bukan satu jumlah sedikit apabila setiap daripada mereka yang beraksi di PBA itu mengeluarkan perbelanjaan sekitar RM30,000 seorang.

Justeru Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Datuk Mohammed Najeeb Abdullah berkata, MTBC selepas ini akan mengkaji semula mekanisma yang boleh digunakan untuk membantu pemain boling negara.

“Oleh kerana ia kejohanan jelajah profesional, ia tidak berada dalam perjanjian antara MSN (Majlis Sukan Negara) dan MTBC pemain yang ingin menyertainya perlu menggunakan perbelanjaan sendiri.

“Ia kerana MTBC memberi fokus kepada kejohanan Asia yang menawarkan kedudukan ranking. Begitupun MTBC memberi kebenaran untuk atlet negara beraksi di peringkat antarabangsa khususnya di AS dengan syarat menggunakan duit sendiri dan itu yang berlaku sejak dua tahun lalu,” katanya.

Terdahulu, beliau yang ditemui pada sidang media Kejohanan Boling Terbuka Malaysia di sini hari ini meluahkan rasa kagum dengan semangat ditunjukkan pemain negara yang teruja untuk mengharumkan nama Malaysia.

Biarpun berdepan cabaran kewangan, MTBC mengakui kejohanan PBA dan Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) adalah platform sangat baik untuk pemain yang sudah berada di tahap tinggi kerana ia menyediakan peluang untuk bersaing dengan pemain terbaik dunia.

Justeru Najib berkata, MTBC selepas ini akan berusaha mencari dana bagi membantu pemain negara terus berkembang di masa depan terutama mengukir nama di pentas antarabangsa.

Awal tahun ini, Hakim menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan bersama Rafiq, Muaz dan Timmy muncul juara acara berpasukan di Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong.

Malaysia mungkin bakal mempunyai seorang lagi juara Jelajah PBA, apabila Muaz meneruskan perjuangan beraksi dalam peringkat penyingkiran PBA Shark Championship, esok.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hafiz mahu ikut jejak Tun Hakim

Kuala Lumpur: Juara bertahan boling Terbuka Malaysia, Hafiz Zainuddin mengakui hatinya berkobar-kobar untuk mengikuti jejak langkah rakan seperjuangan Tun Hakim Tun Hasnul Azam yang mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran PBA.

Namun Hafiz mengakui bahawa perjalanannya masih jauh dan dia memerlukan masa sekurang-kurangnya dua tahun lagi untuk menggilap kekurangan yang ada.

Dia yang ditemui pada sidang media pelancaran Boling Terbuka Malaysia yang mengakui aksi Tun Hakim adalah luar biasa.

“Insya-Allah setahun dua lagi saya juga akan ke sana mengikut jejak langkah senior-senior. Sekarang ini saya nak memperbaiki apa yang patut dan mantapkan lagi permainan saya.

“Jika ada rezeki saya akan pergi sana juga. Saya harap rakan-rakan saya kat sana (Amerika Syarikat) akan menang lagi,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama Hafiz yang akan turun beraksi di Terbuka Malaysia nanti berharap dapat mempamerkan aksi terbaik sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu.

Biarpun begitu, dia mengakui cabarannya tidak mudah apabila terpaksa bersaing dengan kesemua pemain kebangsaan negara yang lain yang sudahpun mengesahkan penyertaan.

Pada kejohanan berkenaan Malaysia akan diwakili oleh 23 pemain senior selain 20 pemain remaja Terbuka Malaysia akan berlangsung dari 7 hingga 20 April ini akan turut disertai beberapa pemain profesional handalan dunia seperti Daniella McEwan dari Amerika Syarikat (AS), Maria Jose Rodriquez (Colombia) dan Pontus Anderson (Sweden).

Ia menawarkan wang kemenangan keseluruhan berjumpa RM450,550 yang mana juara lelaki akan membawa pulang RM50,000 dan wanita RM30,000.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Afrina mahu cipta impak antarabangsa

Kuala Lumpur: Selepas puas mencipta kejayaan dan mencapai sasaran ditetapkan tahun lalu, pelari pecut wanita negara, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal tidak sabar untuk mengorak langkah lebih jauh terutama di peringkat antarabangsa.

Menurut atlet kelahiran Selangor itu, dia sendiri bangga dengan pencapaian diraih tahun lalu dan tidak ada yang gagal menepati sasaran ditetapkan.

“Sasaran saya pada 2024 adalah untuk memenangi emas di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak dan memecahkan rekod temasya, jadi tidak ada perkara yang tak dicapai, semuanya berjaya,” katanya dalam laman sosial, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Ujar atlet berusia 21 tahun itu, tahun ini dia mahu meraih kejayaan yang lebih baik berbanding 2024 terutama di Sukan Sea Thailand.

“Saya mahu memperbaiki catatan peribadi terbaik dalam kedua-dua acara (100 dan 200 meter) dan mahu memenangi pingat di temasya berkenaan tak kisah secara individu mahu pun berpasukan,” katanya.

Tahun lalu di Sarawak Afrina Batrisyia bukan sahaja memenangi acara 100 meter wanita akhir dengan catatan 11.64 saat tetapi turut berjaya memecah rekod temasya.

Dia memadamkan rekod Sukma 11.81s milik Azrenn Nabila Alias yang dirakam pada edisi 2018 di Perak enam tahun lalu.

Buat masa sekarang atlet yang menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu giat menjalani latihan walaupun di bulan Ramadan.

“Untuk sepanjang Ramadan ini memang penat, kami sebagai atlet perlu menjalani latihan seperti biasa di venue masing-masing. Selain itu agak sukar juga buat saya kerana perlu membahagikan antara belajar dan berlatih.

“Jadual di universiti tidak sama ketika Pra Universiti (Pra U) sebelum ini. Ketika Pra U jadual sudah tersusun, kelas hanya sampai Zohor selepas itu berlatih, namun ia berbeza ketika di UPM,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tun Hakim anggap gelaran Jelajah PBA umpama mimpi jadi nyata

Kuala Lumpur: Pemain boling negara, Tun Hakim Tun Hasnul Azam yang mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran dalam Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA) mengakui kemenangan itu umpama mimpi menjadi nyata.

Tun Hakim mengakui kemenangan itu sesuatu yang di luar jangkaan terutama selepas menewaskan barisan pemain handalan dunia yang lain.

“Ia satu yang luar biasa dapat dan jujurnya saya tidak menjangkakan dapat melakukannya. Ia umpama mimpi menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dari segi peralatan dan keputusan yang saya buat.

“Menjadi pemain lelaki Malaysia pertama yang memenangi gelaran PBA adalah sesuatu yang tidak dijangka terutama dengan persaingan diterima daripada pemain boling profesional seluruh dunia di sini,” katanya.

Tegas Tun Hakim, persaingan sengit diterima itu menjadikan dirinya lebih berusaha keras untuk menjadi lebih baik lagi selepas ini dengan sasaran seterusnya adalah Terbuka Malaysia selain Kejohanan Dunia dan Sukan Sea Thailand.

Tun Hakim dinobatkan sebagai juara Chameleon Championship di Reno, Nevada selepas mempamerkan aksi mengagumkan dengan menewaskan pemain Amerika Syarikat (AS), Kevin McCune, 269-227 dalam perlawanan akhir di National Bowling Stadium.

Di pusingan 16 terbaik, dia menewaskan pemain AS, David Krol 3-1 (237-226, 216-247, 268-267, 279-187) sebelum mengatasi juara 12 kali Jelajah PBA dari Sweden, Jesper Svensson, dengan kemenangan bersih 3-0 (245-214, 245-228, 254-215) untuk menempah tempat dalam final stepladder lima terbaik.

Empat finalis yang turut beraksi di pentas akhir adalah McCune, EJ Tackett, Andrew Anderson dan Mitch Hupe yang bertarung sesama sendiri bagi merebut peluang mencabar Hakim dalam perlawanan akhir, dengan McCune akhirnya berjaya melangkah ke final.

Kejayaannya itu membolehkan pemain berusia 26 tahun itu membawa pulang hadiah utama bernilai AS$20,000 (RM89,000).

Kemenangan bersejarah Hakim hadir hanya beberapa hari selepas Rafiq Ismail nyaris memenangi gelaran Jelajah PBA, apabila menduduki tempat kedua dalam Scorpion Championship sebelum tewas kepada pemain Sweden, Rasmus Edvall, dalam perlawanan akhir.

Awal tahun ini, Hakim menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan bersama Rafiq, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan yang menjuarai acara berpasukan di Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong.

Malaysia mungkin bakal mempunyai seorang lagi juara Jelajah PBA, apabila Muaz meneruskan perjuangan beraksi dalam peringkat penyingkiran PBA Shark Championship, esok.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tun Hakim lakar sejarah menang gelaran Jelajah PBA

Kuala Lumpur: Pemain boling negara terus melakar sensasi apabila Tun Hakim Tun Hasnul Azam mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran dalam Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA).

Kejayaan itu menyaksikan pemain berusia 26 tahun itu membawa pulang hadiah utama bernilai AS$20,000 (RM89,000).

Tun Hakim dinobatkan sebagai juara Chameleon Championship di Reno, Nevada selepas mempamerkan aksi mengagumkan untuk menewaskan pemain Amerika Syarikat (AS), Kevin McCune, 269-227 dalam perlawanan akhir di National Bowling Stadium.

Hakim mempamerkan aksi konsisten sepanjang bermula dari peringkat penyingkiran.

Di pusingan 16 terbaik, dia menewaskan pemain AS, David Krol 3-1 (237-226, 216-247, 268-267, 279-187) sebelum mengatasi juara 12 kali Jelajah PBA dari Sweden, Jesper Svensson, dengan kemenangan bersih 3-0 (245-214, 245-228, 254-215) untuk menempah tempat dalam final stepladder lima terbaik.

Aksi konsisten membolehkan dia menamatkan 16 permainan di tempat keempat dan memberikannya tiket automatik ke perlawanan akhir.

Empat finalis yang turut beraksi di pentas akhir adalah McCune, EJ Tackett, Andrew Anderson dan Mitch Hupe yang bertarung sesama sendiri bagi merebut peluang mencabar Hakim dalam perlawanan akhir, dengan McCune akhirnya berjaya melangkah ke final.

Kejayaan bersejarah Hakim ini hadir hanya beberapa hari selepas Rafiq Ismail nyaris memenangi gelaran Jelajah PBA, apabila menduduki tempat kedua dalam Scorpion Championship sebelum tewas kepada pemain Sweden, Rasmus Edvall, dalam perlawanan akhir.

Awal tahun ini, Hakim menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan bersama Rafiq, Ahmad Muaz Fishol, dan Timmy Tan yang menjuarai acara berpasukan di Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong.

Malaysia mungkin bakal mempunyai seorang lagi juara Jelajah PBA apabila Muaz meneruskan perjuangan beraksi dalam peringkat penyingkiran PBA Shark Championship.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
TOUR OF VIETNAM, PIALA BIWASE 2025

Keputusan Individu Peringkat ke 10 (STAGES) – Jarak 114km

1. Nguyen Thi That – VIE

2. Valencia Tan – SIN

3. Nur Aisyah Mohamad Zubir -MAS

Keputusan Individu Peringkat ke 12 (STAGES) – Jarak 120km

1. Nur Aisyah Mohamad Zubir -MAS

2. Nguyen Thi Thi – VIE

3. Kamonrada Khaoplot – THA

Majlis Sukan Negara Malaysia