Kuala Lumpur: Pearly Tan-M Thinaah terus menceriakan kem badminton negara apabila berjaya mara ke suku akhir kejohanan badminton Seluruh England.
Beregu wanita negara yang menduduki ranking kelima dunia itu meraih tiket berkenaan selepas menumbangkan wakil Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-16, 21-14 dalam tempoh 42 minit.
Berlangsung di Utilita Arena Birmingham, Pearly-Thinaah dilihat tenang mengawal permainan dan dapat merencana strategi dengan baik.
Kemenangan itu menyaksikan rekod pertemuan kini memihak kepada gandingan negara yang sudah menang empat daripada tujuh pertemuan sesama mereka.
Pada aksi suku akhir, Pearly-Thinaah akan bertemu pilihan ketiga dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
Gandingan Jepun itu melangkah ke suku akhir selepas membenam cabaran wakil Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-14, 21-19.
Terdahulu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai meraih tiket ke suku akhir selepas menundukkan gandingan Scotland, Alexander Dunn-Julie Macpherson 21-9, 21-10 hanya dalam tempoh 25 minit.