Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Prestasi beregu lelaki negara di Seluruh England di bawah paras sebenar

Kuala Lumpur: Keputusan pemain beregu lelaki di Seluruh England jelas bukan pencapaian terbaik, malah Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menyifatkan mereka beraksi di bawah paras sebenar.

Selepas beregu harapan Aaron Chia-Sooh Wooi Yik tewas, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang diharapkan sekurang-kurangnya melakar kejutan menamatkan kemarau kejuaraan yang kali terakhir dimenangi negara pada 2007 menerusi Koo Ken Kiat-Tan Boon Heong, turut mengucapkan selamat tinggal di seawal pusingan pertama.

Namun Rexy tidak menolak ia mungkin disebabkan perubahan program di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Herry Iman Pierngadi.

Justeru, memandangkan skuad beregu lelaki masih baru di bawah kendalian Herry, beliau menganggap masih terlalu awal untuk meletakkan harapan tinggi kepada pemain kerana ia mampu menambah tekanan.

“Ia memang keputusan yang kurang bagus untuk beregu lelaki kita. Saya akan menilai semula bersama Herry dan (Muhammad) Miftakh yang berperanan sebagai jurulatih skuad beregu lelaki negara.

“Tapi ia mungkin kerana perubahan dari segi program, jadi pemahaman daripada pemain masih belum sepenuhnya. Oleh itu, ia tidak dapat diaplikasikan sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik tewas 16-21, 21-16, 18-21 kepada beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Soogard manakala Wei Chong-Kai Wun terpaksa akur dengan gandingan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu apabila kalah 15-21, 8-21.

Manakala Wan Arif Arif-Yap Roy King yang membuat penampilan sulung mereka di Seluruh England disekat satu lagi beregu China, Huang Di-Liu Yang menerusi kekalahan 18-21, 21-16, 17-21.

Kegagalan tiga beregu negara itu selain terkandasnya dua lagi beregu profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong bermakna, saingan dalam acara beregu lelaki kini hanya digalas oleh beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani yang menjadi wakil tunggal ke pusingan kedua Seluruh England.