Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kompleks Stadium Jalan Raja Muda bakal dinaik taraf – Sumali

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memaklumkan kerja naik taraf perlu dilakukan bagi menjadikan kompleks Stadium Jalan Raja Muda di Kuala Lumpur sebagai Akademi Sepaktakraw Malaysia bertaraf dunia.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan memaklumkan perkara itu selepas melawat tapak kompleks berkenaan, hari ini yang memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan sebelum dapat digunakan sepenuhnya.

Katanya, antara yang perlu diberi keutamaan dalam kerja menaik taraf adalah dewan perlawanan, bilik penginapan serta fasiliti kelengkapan sukan yang lain.

“Alhamdulillah kita sudah dapat kompleks ini daripada ISN (Institut Sukan Negara). Dari tinjauan saya banyak yang perlu diperbaiki dan ditambah baik supaya ia lebih selesa.

“Kita perlu fikir bagaimana mahu bangunkan tempat ini sesuai dengan apa yang dimahukan, namun ia bergantung juga pada bajet dan saya sasar untuk rasmikan tempat ini sekitar Jun atau Julai.

“Masa itu nanti kita boleh lancarkan terus akademi bertaraf antarabangsa dan boleh dikenali sebagai ‘Home of World Sepak Takraw,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di kompleks berkenaan, hari ini.

Untuk rekod, kompleks akan berada di bawah PSM sepenuhnya bermula 1 April depan dengan kontrak sewa selama sembilan tahun, sekali gus bakal menjadi ‘rumah’ baharu buat pasukan sepak takraw negara.

Dalam perkembangan sama, Sumali turut meletakkan sasaran untuk menjenamakan kompleks berkenaan dengan nama baharu dan ia dijangka dilancarkan serta beroperasi sepenuhnya pada Jun atau Julai tahun ini.