Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives March 13, 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Seluruh England: Pearly-Thinaah tempah tiket suku akhir

Kuala Lumpur: Pearly Tan-M Thinaah terus menceriakan kem badminton negara apabila berjaya mara ke suku akhir kejohanan badminton Seluruh England.

Beregu wanita negara yang menduduki ranking kelima dunia itu meraih tiket berkenaan selepas menumbangkan wakil Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-16, 21-14 dalam tempoh 42 minit.

Berlangsung di Utilita Arena Birmingham, Pearly-Thinaah dilihat tenang mengawal permainan dan dapat merencana strategi dengan baik.

Kemenangan itu menyaksikan rekod pertemuan kini memihak kepada gandingan negara yang sudah menang empat daripada tujuh pertemuan sesama mereka.

Pada aksi suku akhir, Pearly-Thinaah akan bertemu pilihan ketiga dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Gandingan Jepun itu melangkah ke suku akhir selepas membenam cabaran wakil Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-14, 21-19.

Terdahulu, beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai meraih tiket ke suku akhir selepas menundukkan gandingan Scotland, Alexander Dunn-Julie Macpherson 21-9, 21-10 hanya dalam tempoh 25 minit.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Soon Huat-Shevon mara ke suku akhir Seluruh England

Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara yang juga pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai menepati ramalan mara ke suku akhir kejohanan badminton Seluruh England.

Pada aksi pusingan kedua di Utilita Arena Birmingham, hari ini, Soon Huat-Shevon yang diletakkan selaku pilihan utama kejohanan, tidak berdepan masalah menundukkan gandingan Scotland, Alexander Dunn-Julie Macpherson 21-9, 21-10 hanya dalam tempoh 25 minit.

Soon Huat-Shevon yang ketika ini menduduki ranking ketiga dunia, dilihat tidak perlu bermandi peluh apabila mendominasi perlawanan itu dengan mudah dalam kedua-dua set.

Pada aksi suku akhir, Soon Huat-Shevon akan bertemu wakil China, Jiang Zhen Bang-Huang Dong Ping, yang juga pilihan kelima kejohanan.

Zheng Bang-Dong Ping mara selepas menundukkan gandingan Taiwan, Ming Che Lu-Hung En-Tzu 21-13, 21-17.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sivasangari layak ke suku akhir Terbuka Australia

Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita utama negara, S Sivasangari memulakan kempen Terbuka Australia dengan cemerlang apabila mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain Hong Kong, Lee Ka Yi pada pusingan kedua di Brisbane hari ini.

Pilihan kelima kejohanan itu, yang menerima bye pada pusingan pertama tidak berdepan banyak masalah untuk menundukkan Ka Yi 11-1, 11-5, 11-7.

Kemenangan ini turut memanjangkan rekod tanpa kalah Sivasangari ke atas lawannya itu kepada empat perlawanan berturut-turut dalam kejohanan yang berlangsung di Kelab Skuasy Sandgate, Brisbane.

Sivasangari kini akan bersaing untuk tempat ke separuh akhir menentang pilihan keempat dari Mesir, Rowan Elaraby, yang menamatkan harapan untuk pertemuan sesama pemain Malaysia selepas menewaskan Rachel Arnold 11-4, 12-10, 11-5.

Sementara itu, Aifa Azman mencuri tumpuan apabila mengejutkan pilihan ketujuh dari Mesir, Fayrouz Aboelkheir, 14-12, 7-11, 11-9, 12-10 dalam perlawanan yang berlangsung selama 48 minit.

Cabaran besar menanti Aifa, bukan pilihan apabila beliau bakal menentang pilihan kedua, Tinne Gilis selepas pemain Belgium itu mengalahkan Tsz-Wing Tong dari Hong Kong, 11-3, 11-6, 11-3.

Dalam saingan lelaki, pemain negara yang juga pilihan kelima, Ng Eain Yow, terpaksa menarik diri ketika permainan penentuan menentang pemain Mesir, Mohamad Zakaria, selepas ketinggalan 2-6.

Terdahulu Eain Yow memenangi dua set pertama, 11-9, 11-8 sebelum Mohamad bangkit untuk memenangi set ketiga dan keempat 11-5, 11-9 sebelum insiden kecederaan memaksa pemain negara itu menarik diri.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Peluang cerah Malaysia lepasi peringkat kumpulan Piala Sudirman

Kuala Lumpur: Malaysia memiliki peluang cerah untuk melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Sudirman 2025, yang dijadualkan berlangsung dari 27 April hingga 4 Mei di Xiamen, China, sekiranya barisan pemain berada dalam prestasi terbaik serta bebas daripada kecederaan.

Menerusi undian yang dijalankan secara maya di saluran YouTube BWF TV hari ini, Malaysia, yang menghuni ranking kelima kejohanan diundi dalam Kumpulan C bersama Jepun, Perancis dan Australia.

Di atas kertas, Jepun dijangka menjadi cabaran utama buat skuad negara, manakala Malaysia perlu berhati-hati dengan kehadiran Perancis yang berpotensi menggugat peluang untuk berada dalam kelompok dua terbaik kumpulan.

Sebagai rekod, Malaysia masih belum pernah menjulang trofi Piala Sudirman sejak kejohanan diperkenalkan pada 1989 dengan pencapaian terbaik adalah mara ke separuh akhir sebanyak tiga kali, iaitu pada edisi 2009, 2021 dan 2023.

Sementara itu, juara bertahan China dijangka tidak berdepan masalah besar dalam Kumpulan A apabila diundi bersama Thailand, Hong Kong dan Algeria.

Kumpulan B menyaksikan persaingan antara Korea Selatan dan Taiwan bagi merebut dua kedudukan teratas dengan Kanada serta Republik Czech turut berada dalam kumpulan yang sama.

Kumpulan D pula boleh dianggap sebagai ‘kumpulan maut’ apabila mempertemukan Indonesia, Denmark, India dan England dalam saingan yang dijangka sengit.

China terus mendominasi kejohanan ini dengan 13 gelaran juara, diikuti Korea Selatan (3) dan Indonesia (1).

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tiada sasaran pingat buat pelumba trek negara di Konya

Kuala Lumpur: Barisan pelumba berbasikal negara dijangka berdepan laluan berliku apabila membuka kempen di Kejohanan Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye, esok.

Ia kerana, ia satu-satunya kejohanan tahun ini bagi pelumba mengutip mata sebelum beraksi di Kejohanan Dunia yang akan bermula dari 15 hingga 19 Oktober di Santiago, Chile.

Justeru, ketua jurulatih berbasikal negara, Harnizam Basri tidak menetapkan sasaran tinggi dari segi kutipan pingat biarpun barisan pelumba negara berada di prestasi terbaik selepas beraksi di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Nilai dengan kejayaan meraih dua emas, dua perak dan tiga gangsa, baru-baru ini

Tegas Harnizam, biarpun tidak menolak peluang untuk pingat itu tetap terbuka, beliau mahu semua enam pelumba terus fokus untuk mempertingkatkan prestasi.

“Sukar untuk kita sasar pingat kerana pelumba Eropah berada di prestasi terbaik memandangkan mereka baru selesai kejohanan peringkat benua, sama seperti kita yang baru selesai ACC.

“Malah kejohanan Piala Negara-Negara ini satu-satunya peluang untuk semua pelumba mengukuhkan kedudukan dari segi ranking bagi membolehkan mereka beraksi di Kejohanan Dunia kelak.

“Jadi persaingan itu memang akan sangat sengit dan saya harap pelumba kita akan dapat buat catatan masa yang lebih baik berbanding ketika di ACC tempoh hari selain dapat mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir dalam acara keirin,” katanya.

Begitupun Harnizam difahamkan pelumba terbaik yang juga juara Olimpik dari Belanda Harrie Lavreysen tidak bertanding, tetapi hampir semua pelumba terbaik mereka yang lain akan hadir.

Turut dimaklumkan Great Britain dan Jepun akan menghantar penunggang terbaik mereka.

Skuad negara membuka tirai saingan dalam acara pecut berpasukan lelaki esok yang membabitkan Fadhil Zonis, Ridwan Sahrom dan Akmal Nazimi Jusena.

Shah Firdaus Sahrom yang akan beraksi dalam acara pecut individu dan keirin selepas itu.

Manakala bagi kategori wanita, Nurul Izzah Izzati Asri dan Nurul Alyssa Farid akan beraksi dalam acara keirin dan pecut individu.

Ketika ditanya tahap kecergasan Shah Firdaus, Harnizam memaklumkan pelumba kelahiran Johor itu sudah pulih daripada kecederaan lutut namun ada kalanya sakit itu masih terasa.

Begitupun, katanya, apa yang penting bagi Shah di Konya adalah mengutip seberapa banyak mata bagi memastikan dia terus berada di kedudukan 10 terbaik dunia dalam kedua-dua acara iaitu keirin dan pecut.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kompleks Stadium Jalan Raja Muda bakal dinaik taraf – Sumali

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memaklumkan kerja naik taraf perlu dilakukan bagi menjadikan kompleks Stadium Jalan Raja Muda di Kuala Lumpur sebagai Akademi Sepaktakraw Malaysia bertaraf dunia.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan memaklumkan perkara itu selepas melawat tapak kompleks berkenaan, hari ini yang memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan sebelum dapat digunakan sepenuhnya.

Katanya, antara yang perlu diberi keutamaan dalam kerja menaik taraf adalah dewan perlawanan, bilik penginapan serta fasiliti kelengkapan sukan yang lain.

“Alhamdulillah kita sudah dapat kompleks ini daripada ISN (Institut Sukan Negara). Dari tinjauan saya banyak yang perlu diperbaiki dan ditambah baik supaya ia lebih selesa.

“Kita perlu fikir bagaimana mahu bangunkan tempat ini sesuai dengan apa yang dimahukan, namun ia bergantung juga pada bajet dan saya sasar untuk rasmikan tempat ini sekitar Jun atau Julai.

“Masa itu nanti kita boleh lancarkan terus akademi bertaraf antarabangsa dan boleh dikenali sebagai ‘Home of World Sepak Takraw,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di kompleks berkenaan, hari ini.

Untuk rekod, kompleks akan berada di bawah PSM sepenuhnya bermula 1 April depan dengan kontrak sewa selama sembilan tahun, sekali gus bakal menjadi ‘rumah’ baharu buat pasukan sepak takraw negara.

Dalam perkembangan sama, Sumali turut meletakkan sasaran untuk menjenamakan kompleks berkenaan dengan nama baharu dan ia dijangka dilancarkan serta beroperasi sepenuhnya pada Jun atau Julai tahun ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Prestasi beregu lelaki negara di Seluruh England di bawah paras sebenar

Kuala Lumpur: Keputusan pemain beregu lelaki di Seluruh England jelas bukan pencapaian terbaik, malah Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menyifatkan mereka beraksi di bawah paras sebenar.

Selepas beregu harapan Aaron Chia-Sooh Wooi Yik tewas, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang diharapkan sekurang-kurangnya melakar kejutan menamatkan kemarau kejuaraan yang kali terakhir dimenangi negara pada 2007 menerusi Koo Ken Kiat-Tan Boon Heong, turut mengucapkan selamat tinggal di seawal pusingan pertama.

Namun Rexy tidak menolak ia mungkin disebabkan perubahan program di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Herry Iman Pierngadi.

Justeru, memandangkan skuad beregu lelaki masih baru di bawah kendalian Herry, beliau menganggap masih terlalu awal untuk meletakkan harapan tinggi kepada pemain kerana ia mampu menambah tekanan.

“Ia memang keputusan yang kurang bagus untuk beregu lelaki kita. Saya akan menilai semula bersama Herry dan (Muhammad) Miftakh yang berperanan sebagai jurulatih skuad beregu lelaki negara.

“Tapi ia mungkin kerana perubahan dari segi program, jadi pemahaman daripada pemain masih belum sepenuhnya. Oleh itu, ia tidak dapat diaplikasikan sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik tewas 16-21, 21-16, 18-21 kepada beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Soogard manakala Wei Chong-Kai Wun terpaksa akur dengan gandingan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu apabila kalah 15-21, 8-21.

Manakala Wan Arif Arif-Yap Roy King yang membuat penampilan sulung mereka di Seluruh England disekat satu lagi beregu China, Huang Di-Liu Yang menerusi kekalahan 18-21, 21-16, 17-21.

Kegagalan tiga beregu negara itu selain terkandasnya dua lagi beregu profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong bermakna, saingan dalam acara beregu lelaki kini hanya digalas oleh beregu profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani yang menjadi wakil tunggal ke pusingan kedua Seluruh England.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
ITTF WORLD PARA FUTURE COSTA BRAVA 2025

GIRONA, SPAIN | 11 – 14 MAC 2025

Men’s Singles Class 11

Gold : Hara Hajime (JPN)

Silver : Jennahtul Fahmi Ahmad Jennah (MAS)

Bronze : Yamamoto Shunta (JPN) & Makajew Maciej (POL)

Women’s Singles Class 9-10

Gold : Alexandre Bruna (BRA)

Silver : Gloria Gracia Wong (MAS)

Bronze : Van T Holt Anniek (NED) & Migueles Maria (ESP)

Majlis Sukan Negara Malaysia