Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Stadium Jalan Raja Muda jadi Akademi Sepak Takraw Malaysia

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan menyifatkan sejarah tercipta selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi lampu hijau kepada pelaksanaan Program Pembangunan Sepaktakraw Negara (NSTDP) yang akan bermula April ini.

Lebih manis, Stadium Jalan Raja Muda (SJRM), Kampung Baru kini akan dikendalikan sepenuhnya oleh PSM sebagai Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia, sekali gus menjadi hab pembangunan sukan tradisi itu di peringkat akar umbi dan elit.

“Ini satu perkembangan cukup positif buat sukan sepak takraw negara. Dengan adanya NSTDP serta pemilikan penuh PSM ke atas SJRM, kami kini mempunyai platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti dan mengembalikan kegemilangan Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujarnya, program pembangunan itu bakal memberi tumpuan kepada pencarian bakat baharu serta sistem latihan lebih sistematik yang membolehkan Malaysia kembali menjadi kuasa besar sepak takraw dunia.

“Ia sama seperti sukan lain dengan membabitkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan mencari bakat sehingga serata pelusuk daerah dan negeri.

“Sementara itu SJRM akan menjadi pusat utama bagi pembangunan pemain dari peringkat akar umbi hingga ke skuad kebangsaan.

“Dengan kemudahan dan struktur latihan lebih baik, termasuk pelbagai fasiliti lengkap serta moden. Membuktikan bahawa Malaysia juga serius dalam sukan ini dan sedia kembali menjadi kuasa besar,” katanya.

PSM sebelum ini giat merancang pelbagai inisiatif bagi memastikan sukan warisan itu terus berkembang, termasuk memperkukuhkan kejohanan tempatan serta membina jaringan lebih kukuh dengan badan antarabangsa.

NSTDP dijangka menjadi tonggak utama dalam usaha melahirkan generasi baharu tekong, apit kiri dan kanan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Sumali berkata, kedua-dua perkara berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM Ahad ini.