Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PM hadir Program Ihya Ramadan KBS

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Program Ihya Ramadan yang diadakan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

KBS memaklumkan program Ihya Ramadan itu turut mendapat kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Program Ihya Ramadan bertujuan sebagai wadah Perdana Menteri menyantuni warga KBS bagi memanfaatkan bulan Ramadan dengan mengisi amalan kerohanian menerusi majlis ilmu yang penuh keberkatan.

“Antara pengisian program ialah Tazkirah Ramadan yang bertajuk Ramadan: Tarbiah Emosi dan Jasmani Belia MADANI yang disampaikan oleh penceramah dari JAKIM, Mohd Lukmanul Hakim Mokhtar serta turut melakukan solat Zohor berjemaah.

“Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama hampir 400 warga KBS dan agensi turut hadir mengimarahkan sesi majlis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum mengikuti program berkenaan, Anwar juga sempat bertemu dengan pengurusan tertinggi KBS untuk membincangkan pelbagai perkara berhubung pemantapan tatakelola, inisiatif KBS dan pencapaian utama kementerian.