Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jonatan lebur impian Jun Hao

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada penampilan pertamanya di Seluruh England apabila tersingkir seawal pusingan pertama.

Pemain negara yang menduduki ranking ke-24 dunia itu tewas di tangan juara bertahan dari Indonesia, Jonatan Christie 11-21, 19-21 dalam tempoh 43 minit di Utilita Arena, Birmingham.

Kekalahan itu bermakna Jun Hao gagal meneruskan rentak kemenangan ke atas Jonatan selepas mengatasi pemain nombor dua dunia itu pada aksi separuh akhir Masters Jepun. November tahun lalu.

Jun Hao dilihat tidak mempunyai jawapan untuk mematikan rentak permainan Jonatan dan terpaksa akur dengan kekalahan itu.

Pemain negara berusia 25 tahun itu akan memberi fokus kepada saingan Terbuka Switzerland pada minggu depan.

Nasib sama juga menimpa beregu campuran negara, Hoo Pan Ron-Cheng Su Yin yang kandas seawal pusingan pertama.

Pang Ron-Su Yin terpaksa akur dengan kehebatan wakil Korea Selatan, Ki Dong Ju-Jeong Na Eun yang menewaskan mereka 17-21, 18-21 dalam tempoh 36 minit.