Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nur Alyssa Farid yang semakin mencuri perhatian di pentas antarabangsa dan kini bersiap sedia untuk menguji kehebatannya dalam Kejohanan Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye bermula Jumaat ini.
Dalam penampilan sulungnya di kejohanan berkenaan, atlet kelahiran Johor berusia 20 tahun itu meletakkan sasaran realistik untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir dalam acara pecut dan keirin.
“Sudah tentu saya teruja untuk berlumba di tahap lebih tinggi, tetapi pada masa sama agak gementar kerana saingan kali ini membabitkan pelumba terbaik dunia.
“Ini adalah penampilan pertama saya di Kejohanan Piala Negara-Negara, jadi saya tidak pasti bagaimana suasananya nanti.
“Jika berjaya ke suku akhir dalam acara pecut dan keirin, itu sudah cukup membanggakan saya,” katanya.
Alyssa sebelum ini membuktikan kemampuannya apabila membantu skuad negara meraih perak dalam acara pecut berpasukan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025, bulan lalu.
Bergandingan bersama Anis Amira Rosidi dan Nurul Izzah Izzati Asri, trio negara mencatat masa 49.132 saat (s) dan hanya dipisahkan dengan pasukan China yang merangkul emas, manakala Jepun di tempat ketiga.
Sebagai rekod, bakat Alyssa mula mencuri tumpuan selepas penampilan sulung cemerlang di Piala Presiden 2025, Januari lalu, apabila membawa pulang satu perak dalam acara pecut serta dua gangsa dalam keirin dan pecut individu.
Kini, dengan semangat dan tekad tinggi, Alyssa bersedia mengibarkan cabaran Malaysia di pentas dunia.