Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives March 11, 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jonatan lebur impian Jun Hao

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada penampilan pertamanya di Seluruh England apabila tersingkir seawal pusingan pertama.

Pemain negara yang menduduki ranking ke-24 dunia itu tewas di tangan juara bertahan dari Indonesia, Jonatan Christie 11-21, 19-21 dalam tempoh 43 minit di Utilita Arena, Birmingham.

Kekalahan itu bermakna Jun Hao gagal meneruskan rentak kemenangan ke atas Jonatan selepas mengatasi pemain nombor dua dunia itu pada aksi separuh akhir Masters Jepun. November tahun lalu.

Jun Hao dilihat tidak mempunyai jawapan untuk mematikan rentak permainan Jonatan dan terpaksa akur dengan kekalahan itu.

Pemain negara berusia 25 tahun itu akan memberi fokus kepada saingan Terbuka Switzerland pada minggu depan.

Nasib sama juga menimpa beregu campuran negara, Hoo Pan Ron-Cheng Su Yin yang kandas seawal pusingan pertama.

Pang Ron-Su Yin terpaksa akur dengan kehebatan wakil Korea Selatan, Ki Dong Ju-Jeong Na Eun yang menewaskan mereka 17-21, 18-21 dalam tempoh 36 minit.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Soon Huat-Shevon teruskan kemaraan di Seluruh England

Kuala Lumpur: Beregu profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai menepati ramalan selaku pilihan pertama Seluruh England apabila meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.

Soon Huat-Shevon yang menduduki ranking ketiga dunia, menewaskan gandingan Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 22-20, 9-21, 21-18 dalam tempoh satu jam pada pusingan pertama, hari ini.

Berlangsung di Utilita Arena Birmingham, pasangan suami isteri itu terpaksa berhempas pulas untuk memenangi set pertama sebelum tewas mudah di set kedua, namun bangkit semula untuk melakar kemenangan di set penentuan.

Soon Huat-Shevon akan bertemu wakil Scotland, Alexander Dunn-Julie Macpherson di pusingan kedua.

Bagaimanapun gandingan beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King gagal mengikut jejak langkah Soon Huat-Shevon apabila kandas di pusingan pertama.

Beregu negara itu yang mara sehingga ke separuh akhir Masters Orleans minggu lalu, tewas di tangan gandingan China, Hung Di-Liu Yang 18-21, 21-16, 17-21.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nani Sahirah idam lontaran emas Sukan Sea 2025

Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru wanita negara, Nani Sahirah Maryata berharap akan menukar warna pingat kepada emas pada temasya Sukan Sea 2025 di Thailand, dari 9 hingga 20 Disember depan.

Atlet berusia 24 tahun kelahiran Kuantan, Pahang itu sekadar memenangi pingat gangsa pada penampilan sulung di Kemboja dua tahun lalu.

“Sasaran saya pada tahun ini adalah untuk mengenggam emas,” katanya dalam satu video dikongsikan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hari ini

Berbaki sembilan bulan lagi, penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu dilihat berada di landasan tepat dalam merealisasikan sasaran berkenaan selepas muncul pemegang rekod kebangsaan acara ini dengan lontaran sejauh 15.70 meter (m), yang dilakukannya pada Kejohanan Grand Final Varsity Track & Field tahun lalu.

Dia memperbaharui rekod peribadi iaitu 15.39m sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sama seperti kebanyakan atlet lain, jadual latihannya diatur semula bagi menyesuaikan diri dengan waktu sahur serta berbuka sepanjang bulan Ramadan ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
TAKLIMAT PENDIDIKAN CUKAI DAN PROSEDUR E-FILING UNTUK ATLET DAN JURULATIH MSN

Majlis Sukan Negara menerusi Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) telah menganjurkan Taklimat Pendidikan Cukai Dan Prosedur E-Filing untuk Atlet dan Jurulatih di bawah Program Majlis Sukan Negara pada 11 Mac 2025 bertempat di Dewan Bankuet, Casa 4, Majlis Sukan Negara.

Taklimat yang dikendalikan oleh Encik Aizat Ikhwan Roslan serta Puan Norshafiqah Badri daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran atlet dan jurulatih tentang kepentingan percukaian serta memberikan panduan yang jelas mengenai pengisian serta pemfailan cukai.

Program kali ini menyaksikan kehadiran 60 atlet kebangsaan mengambil peluang menerusi program ini untuk membuka e-fail dan mengisi butiran percukaian secara dalam talian dengan bantuan daripada pegawai-pegawai LHDN.

Turut hadir, YBhg. Datuk Shalin Zulkifli, Ketua Sekretariat MACE Majlis Sukan Negara

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Alyssa sasar suku akhir di Kejohanan Piala Negara-Negara

Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal trek wanita negara, Nur Alyssa Farid yang semakin mencuri perhatian di pentas antarabangsa dan kini bersiap sedia untuk menguji kehebatannya dalam Kejohanan Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye bermula Jumaat ini.

Dalam penampilan sulungnya di kejohanan berkenaan, atlet kelahiran Johor berusia 20 tahun itu meletakkan sasaran realistik untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir dalam acara pecut dan keirin.

“Sudah tentu saya teruja untuk berlumba di tahap lebih tinggi, tetapi pada masa sama agak gementar kerana saingan kali ini membabitkan pelumba terbaik dunia.

“Ini adalah penampilan pertama saya di Kejohanan Piala Negara-Negara, jadi saya tidak pasti bagaimana suasananya nanti.

“Jika berjaya ke suku akhir dalam acara pecut dan keirin, itu sudah cukup membanggakan saya,” katanya.

Alyssa sebelum ini membuktikan kemampuannya apabila membantu skuad negara meraih perak dalam acara pecut berpasukan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025, bulan lalu.

Bergandingan bersama Anis Amira Rosidi dan Nurul Izzah Izzati Asri, trio negara mencatat masa 49.132 saat (s) dan hanya dipisahkan dengan pasukan China yang merangkul emas, manakala Jepun di tempat ketiga.

Sebagai rekod, bakat Alyssa mula mencuri tumpuan selepas penampilan sulung cemerlang di Piala Presiden 2025, Januari lalu, apabila membawa pulang satu perak dalam acara pecut serta dua gangsa dalam keirin dan pecut individu.

Kini, dengan semangat dan tekad tinggi, Alyssa bersedia mengibarkan cabaran Malaysia di pentas dunia.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PM hadir Program Ihya Ramadan KBS

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri Program Ihya Ramadan yang diadakan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

KBS memaklumkan program Ihya Ramadan itu turut mendapat kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Program Ihya Ramadan bertujuan sebagai wadah Perdana Menteri menyantuni warga KBS bagi memanfaatkan bulan Ramadan dengan mengisi amalan kerohanian menerusi majlis ilmu yang penuh keberkatan.

“Antara pengisian program ialah Tazkirah Ramadan yang bertajuk Ramadan: Tarbiah Emosi dan Jasmani Belia MADANI yang disampaikan oleh penceramah dari JAKIM, Mohd Lukmanul Hakim Mokhtar serta turut melakukan solat Zohor berjemaah.

“Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama hampir 400 warga KBS dan agensi turut hadir mengimarahkan sesi majlis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum mengikuti program berkenaan, Anwar juga sempat bertemu dengan pengurusan tertinggi KBS untuk membincangkan pelbagai perkara berhubung pemantapan tatakelola, inisiatif KBS dan pencapaian utama kementerian.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Stadium Jalan Raja Muda jadi Akademi Sepak Takraw Malaysia

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan menyifatkan sejarah tercipta selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi lampu hijau kepada pelaksanaan Program Pembangunan Sepaktakraw Negara (NSTDP) yang akan bermula April ini.

Lebih manis, Stadium Jalan Raja Muda (SJRM), Kampung Baru kini akan dikendalikan sepenuhnya oleh PSM sebagai Pusat Akademi Sepak Takraw Malaysia, sekali gus menjadi hab pembangunan sukan tradisi itu di peringkat akar umbi dan elit.

“Ini satu perkembangan cukup positif buat sukan sepak takraw negara. Dengan adanya NSTDP serta pemilikan penuh PSM ke atas SJRM, kami kini mempunyai platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti dan mengembalikan kegemilangan Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ujarnya, program pembangunan itu bakal memberi tumpuan kepada pencarian bakat baharu serta sistem latihan lebih sistematik yang membolehkan Malaysia kembali menjadi kuasa besar sepak takraw dunia.

“Ia sama seperti sukan lain dengan membabitkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan mencari bakat sehingga serata pelusuk daerah dan negeri.

“Sementara itu SJRM akan menjadi pusat utama bagi pembangunan pemain dari peringkat akar umbi hingga ke skuad kebangsaan.

“Dengan kemudahan dan struktur latihan lebih baik, termasuk pelbagai fasiliti lengkap serta moden. Membuktikan bahawa Malaysia juga serius dalam sukan ini dan sedia kembali menjadi kuasa besar,” katanya.

PSM sebelum ini giat merancang pelbagai inisiatif bagi memastikan sukan warisan itu terus berkembang, termasuk memperkukuhkan kejohanan tempatan serta membina jaringan lebih kukuh dengan badan antarabangsa.

NSTDP dijangka menjadi tonggak utama dalam usaha melahirkan generasi baharu tekong, apit kiri dan kanan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Sumali berkata, kedua-dua perkara berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM Ahad ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia