Kuala Lumpur: Skuad ragbi 15 sebelah negara (15’s) kini berdepan misi hidup mati untuk mengekalkan kedudukan dalam Divisyen Premier apabila turun menentang Sri Lanka dalam aksi playoff Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024 pada 19 April depan.
Sri Lanka, selaku juara Divisyen 1, berpeluang menyingkirkan skuad Bunga Raya 15’s daripada pentas tertinggi ARC sekiranya menang dalam pertembungan itu.
Ketua jurulatih negara, Saizul Hafifi Md Noor mengakui persiapan rapi sedang dijalankan, namun beliau masih menunggu kepastian mengenai kehadiran dua pemain naturalisasi dari Fiji yang dijangka mampu memberi suntikan tenaga serta pengalaman kepada pasukan.
“Kami masih menunggu keputusan daripada Ragbi Malaysia (MR) mengenai status pemain naturalisasi ini.
“Jika semuanya berjalan lancar, mereka akan menyertai pasukan selepas Aidilfitri dan jika tidak, kami akan bergantung sepenuhnya kepada pemain tempatan,” katanya.
Tambahnya, walaupun Sri Lanka memiliki kelebihan dari segi kepantasan, saiz fizikal kedua-dua pasukan tidak jauh berbeza.
Namun, katanya, kekurangan perlawanan menentang mereka menyukarkan pihaknya untuk menilai kekuatan sebenar lawan.
“Kami sudah mengkaji corak permainan Sri Lanka dan mereka memang pantas. Dari segi fizikal, mereka tidak jauh berbeza dengan kita.
“Cuma, kita sudah lama tidak bertemu mereka, jadi agak sukar meramalkan prestasi sebenar mereka.
“Sudah pasti perlawanan ini tidak mudah. Jadi, persiapan harus lebih rapi bagi memastikan kita mampu menandingi mereka. Buat masa ini, skuad latihan negara memasuki fasa kedua dengan sesi latihan di Terengganu.
“Di sana, kita akan mengadakan perlawanan ujian menentang satu pasukan tempatan untuk menguji kekuatan pemain serta strategi yang dirancang,” tambahnya.
Skuad negara terpaksa mengharungi aksi playoff selepas menamatkan kempen ARC 2024 di tangga tercorot di belakang juara, Hong Kong serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Korea Selatan.
Kekalahan berturut-turut itu memaksa Malaysia berdepan Sri Lanka bagi menentukan pasukan mana yang akan kekal di pentas utama musim depan.