Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Herry yakin potensi ManTee di Seluruh England

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi optimis Man Wei Chong-Tee Kai Wun (ManTee) mampu bangkit dalam saingan Seluruh England bermula esok.

Menurutnya, kekalahan di pusingan pertama Masters Orleans kepada juara Terbuka Malaysia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, menjadi pengajaran berguna buat pasangan negara untuk memperbaiki prestasi mereka.

“Lawannya di Masters Orleans (Won Ho-Seung Jae) adalah antara beregu lelaki terbaik dunia ketika ini.

“Dalam perlawanan itu, Wei Chong-Kai Wun banyak melakukan kesilapan dan saya harap mereka menjadikannya sebagai iktibar,” katanya.

Herry yang terkenal dengan gelaran Naga Api tetap yakin dengan keupayaan anak buahnya meskipun mereka berdepan laluan mencabar di Birmingham.

Gandingan ranking ke-11 dunia itu sebelum ini membuktikan kemampuan mereka dengan mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia dan menjuarai Masters Indonesia pada Januari lalu.

Untuk saingan Seluruh England, Wei Chong-Kai Wun akan membuka kempen menentang pilihan keenam dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu di pusingan pertama.

Kali terakhir beregu lelaki negara muncul juara di kejohanan berstatus Super 1000 itu ialah melalui Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007.

Ketika itu mereka menumpaskan gandingan China, Fu Haifeng-Cai Yun 21-15, 21-18.