Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives March 10, 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Daania pacu skuad negara ungguli aksi pra-kelayakan Piala Billie Jean King Junior

Kuching: Malaysia kini semakin hampir untuk layak ke Pusingan Akhir Remaja Piala Billie Jean King (BJKC) selepas memenangi kejohanan pra-kelayakan Asia-Oceania BJKC di Kuching, Sarawak hujung minggu lalu.

Malaysia, yang diketuai oleh Daania Hazli, tidak berdepan kesukaran untuk memenangi Kumpulan C – yang turut menampilkan Maldives, Oceania Pasifik dan Mongolia – seterusnya mara ke separuh akhir.

Malaysia, yang diletakkan pilihan keempat dalam kejohanan itu, melakar kejutan apabila menewaskan Sri Lanka yang menjadi pilihan kedua dengan kemenangan 2-1 di separuh akhir sebelum menewaskan pilihan utama Filipina dalam pertarungan akhir yang penuh mendebarkan.

Daania memainkan peranan penting dalam kedua-dua kemenangan itu, dengan persembahan yang dominan selain turut menyumbangkan mata penting dalam acara beregu.

Daania bijak mengawal keadaan mencatat kemenangan 6-2, 6-2 ke atas Mahathelge Yuhansa Chrystal Peiris.

Namun, Adani Raihan Muhd Azhari yang turun sebagai perseorangan kedua gagal menewaskan Akeesha Hirundi Silva Diyunuge apabila tewas 7-5, 5-7, 3-6.

Dengan kedudukan terikat 1-1, Daania bergandingan dengan Adani dalam perlawanan beregu, di mana mereka menunjukkan kerjasama yang jitu untuk mengalahkan Akeesha dan Venuli Senari Jayasinghe 6-2, 6-0.

Kemenangan 2-1 itu mengesahkan Malaysia tempat di pusingan kelayakan akhir BJKC Junior Asia-Oceania yang akan diadakan di Kazakhstan pada 12-17 Mei. Hanya dua pasukan teratas dari pusingan pra-kelayakan akan layak.

Namun, kecemerlangan pasukan muda negara ini tidak berhenti di situ, mereka meneruskan kejutan dengan mengalahkan pilihan utama Filipina 2-1 dalam perlawanan akhir.

Dalam perlawanan akhir, Filipina mendahului apabila Erynne Francesca Ong menewaskan Sarawanan Dhevieena dalam pertarungan sengit 5-7, 6-2, 6-3.

Daania sekali lagi tampil cemerlang apabila menyamakan kedudukan untuk Malaysia dengan kemenangan 6-2, 6-2 ke atas Jayden Reece Ballado.

Dengan gelaran di tangan, dia dan Adani sekali lagi mempamerkan prestasi mantap, mengalahkan Jayden dan Jana Jelena Nicole Diaz 6-4, 6-2 untuk menjulang Malaysia sebagai juara.

Aksi konsistennya dalam acara perseorangan ditambah dengan gandingan mantap bersama Adani dalam acara beregu, menjadi tonggak kejayaan pasukan.

Daania, yang baru berusia 15 tahun pada bulan Jun ini, dianggap memiliki potensi besar pada masa depan.

Bapanya, Hazli Zainuddin, yang juga bekas ketua jurulatih kebangsaan, kelihatan tersenyum lebar selepas menyaksikan persembahan Daania di Kuching.

“Daania mampu mengendalikan tekanan dengan baik sepanjang kejohanan, terutama pada mata-mata penting.

“Dia sangat konsisten dalam perlawanan dan juga membentuk kerjasama yang kuat dengan Adani dalam beregu.

“Matlamat tahun ini adalah untuk terus memberi fokus pada perkembangan Daania dan memastikan dia terus berkembang dalam kedudukan ranking junior,” ,” kata Hazli.

Daania adalah adik kepada Imran Hazli, 19, yang pernah berada dalam kedudukan 100 terbaik ITF sebelum beralih untuk bermain tenis kolej di Baylor University, Texas, pada tahun lalu.

Hanya empat pasukan teratas daripada 16 pasukan yang bersaing di pusingan kelayakan akhir BJKC Junior Asia-Oceania di Kazakhstan, yang dijangka menampilkan negara-negara kuat seperti Australia, Jepun, Korea Selatan dan China.

Final BJKC Junior akan diadakan di Turki pada 11-17 November dan akan menampilkan 16 negara terbaik dari seluruh dunia.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Reezpiupiu harap lebih ramai wanita terbabit dalam e-sukan

Kuala Lumpur: Pengulas e-sukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB), Siti Nurizati Jefree berharap wujud kerjasama antara industri sukan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kementerian berkaitan bagi menarik minat lebih ramai golongan wanita untuk menceburi bidang itu.

Nurizati yang lebih dikenali dengan Reezpiupiu berkata, untuk merealisasikan perkara itu, sokongan dalam bentuk dana atau geran khas mampu mewujudkan lebih banyak peluang agar orang ramai mempunyai platform untuk mengorak langkah pertama.

Katanya, ketika ini ruang itu masih kecil dan dia hadir menerusi program daripada moonton sehingga dikenali sebagai antara pengulas terbaik dalam sukan berkenaan.

“Program daripada moonton bukan sekadar mengajar asas pengulasan, tetapi cara membentuk gaya tersendiri, membina keyakinan dan memahami keperluan industri.

“Saya percaya jika lebih ramai wanita diberikan peluang dan bimbingan yang betul, kita boleh melahirkan lebih banyak pengulas berkualiti yang mampu bersaing di peringkat profesional.

“Namun, untuk memastikan program ini berkembang lebih jauh dan mencapai lebih ramai peserta, saya percaya sokongan daripada kerajaan dan institusi pendidikan serta agensi berkaitan akan menjadi pemangkin utama.

“Kerjasama itu boleh membuka lebih banyak ruang bagi peserta program untuk mendapatkan latihan lebih formal serta peluang kerjaya dalam industri.

“Dengan adanya jaringan dan platform lebih kukuh, kita bukan sahaja membantu wanita dalam e-sukan, tetapi menyumbang kepada perkembangan industri digital negara secara keseluruhan,” katanya.

Selain itu, Reezpiupiu yang sinonim dengan gelaran ‘Rapper Caster of MPLMY (Liga Profesional Malaysia)’ percaya sekiranya perkara itu mampu dilaksanakan, lebih ramai bakat dapat dicungkil kerana mungkin mereka mempunyai bakat tersembunyi, tetapi kurang akses ke arah itu.

Pengulas berusia 24 tahun itu mula menceburi bidang pengulasan e-sukan pada 2020 dan fasih menguasai tiga bahasa iaitu Melayu, Mandarin serta Inggeris.

Dia meraih beberapa pencapaian seperti Pengulas Mandarin Terbaik MLBB Academy League Malaysia (MAL) 2023 serta diberikan kepercayaan mengulas di Kejohanan Dunia MLBB tahun lalu.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Herry yakin potensi ManTee di Seluruh England

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi optimis Man Wei Chong-Tee Kai Wun (ManTee) mampu bangkit dalam saingan Seluruh England bermula esok.

Menurutnya, kekalahan di pusingan pertama Masters Orleans kepada juara Terbuka Malaysia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, menjadi pengajaran berguna buat pasangan negara untuk memperbaiki prestasi mereka.

“Lawannya di Masters Orleans (Won Ho-Seung Jae) adalah antara beregu lelaki terbaik dunia ketika ini.

“Dalam perlawanan itu, Wei Chong-Kai Wun banyak melakukan kesilapan dan saya harap mereka menjadikannya sebagai iktibar,” katanya.

Herry yang terkenal dengan gelaran Naga Api tetap yakin dengan keupayaan anak buahnya meskipun mereka berdepan laluan mencabar di Birmingham.

Gandingan ranking ke-11 dunia itu sebelum ini membuktikan kemampuan mereka dengan mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia dan menjuarai Masters Indonesia pada Januari lalu.

Untuk saingan Seluruh England, Wei Chong-Kai Wun akan membuka kempen menentang pilihan keenam dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu di pusingan pertama.

Kali terakhir beregu lelaki negara muncul juara di kejohanan berstatus Super 1000 itu ialah melalui Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007.

Ketika itu mereka menumpaskan gandingan China, Fu Haifeng-Cai Yun 21-15, 21-18.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad ragbi 15’s berdepan misi hidup mati menentang Sri Lanka – Saizul

Kuala Lumpur: Skuad ragbi 15 sebelah negara (15’s) kini berdepan misi hidup mati untuk mengekalkan kedudukan dalam Divisyen Premier apabila turun menentang Sri Lanka dalam aksi playoff Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024 pada 19 April depan.

Sri Lanka, selaku juara Divisyen 1, berpeluang menyingkirkan skuad Bunga Raya 15’s daripada pentas tertinggi ARC sekiranya menang dalam pertembungan itu.

Ketua jurulatih negara, Saizul Hafifi Md Noor mengakui persiapan rapi sedang dijalankan, namun beliau masih menunggu kepastian mengenai kehadiran dua pemain naturalisasi dari Fiji yang dijangka mampu memberi suntikan tenaga serta pengalaman kepada pasukan.

“Kami masih menunggu keputusan daripada Ragbi Malaysia (MR) mengenai status pemain naturalisasi ini.

“Jika semuanya berjalan lancar, mereka akan menyertai pasukan selepas Aidilfitri dan jika tidak, kami akan bergantung sepenuhnya kepada pemain tempatan,” katanya.

Tambahnya, walaupun Sri Lanka memiliki kelebihan dari segi kepantasan, saiz fizikal kedua-dua pasukan tidak jauh berbeza.

Namun, katanya, kekurangan perlawanan menentang mereka menyukarkan pihaknya untuk menilai kekuatan sebenar lawan.

“Kami sudah mengkaji corak permainan Sri Lanka dan mereka memang pantas. Dari segi fizikal, mereka tidak jauh berbeza dengan kita.

“Cuma, kita sudah lama tidak bertemu mereka, jadi agak sukar meramalkan prestasi sebenar mereka.

“Sudah pasti perlawanan ini tidak mudah. Jadi, persiapan harus lebih rapi bagi memastikan kita mampu menandingi mereka. Buat masa ini, skuad latihan negara memasuki fasa kedua dengan sesi latihan di Terengganu.

“Di sana, kita akan mengadakan perlawanan ujian menentang satu pasukan tempatan untuk menguji kekuatan pemain serta strategi yang dirancang,” tambahnya.

Skuad negara terpaksa mengharungi aksi playoff selepas menamatkan kempen ARC 2024 di tangga tercorot di belakang juara, Hong Kong serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Korea Selatan.

Kekalahan berturut-turut itu memaksa Malaysia berdepan Sri Lanka bagi menentukan pasukan mana yang akan kekal di pentas utama musim depan.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Bertrand yakin Ken Nee mampu bantu skuad terjun

Kuala lumpur: Pengalaman pengarah teknikal baharu skuad terjun kebangsaan Yeoh Ken Nee sebagai penerjun berpengalaman dan juri di peringkat antarabangsa, akan memberi pandangan berharga serta perspektif baharu bagi meningkatkan bakat sukan terjun negara.

Penerjun negara Bertrand Rhodict Lises optimis bahawa Ken Nee tahu apa diperlukan untuk membantu mereka kembali meraih kejayaan, selain beliau sentiasa peka dengan perkembangan teknik dan peraturan terjun terkini.

“Secara peribadi, saya merasakan pelantikan Ken Nee sebagai perkara baik. Beliau menyertai banyak pertandingan sebelum ini (sebagai juri di peringkat antarabangsa) dan setiasa peka dengan perkembangan serta apa sahaja perubahan dilakukan Akuatik Dunia (WA).

“Jadi jika ada perubahan, beliau antara terawal tahu dan boleh memaklumkan kami. Selain itu sebagai bekas penerjun, beliau memiliki pencapaian cukup besar dan saya berharap semuanya akan berjalan lancar untuk kami,” katanya.

Baru-baru ini Renang Malaysia (MS) mengumumkan pelantikan Ken Nee sebagai pengarah teknikal baharu skuad terjun kebangsaan bagi menggantikan Bryan Nickson Lomas yang meletak jawatan pada Disember lalu.

Ken Nee mencatatkan sejarah sebagai penerjun lelaki Malaysia pertama berjaya ke peringkat akhir Sukan Olimpik dan menduduki tempat ke-10 dalam acara individu papan anjal 3 meter (m) lelaki di Olimpik London 2012.

Beliau juga memperoleh pingat pada Sukan Asia iaitu di Busan pada 2002, Doha (2006) dan Guangzhou (2010).

Penerjun berusia 41 tahun yang bersara pada 2021 itu juga berpengalaman dalam bidang kejurulatihan termasuk pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih pasukan terjun Wilayah Persekutuan.

Sebagai juri antarabangsa, Ken Nee adalah seorang daripada pegawai dari Asia dipilih untuk menghakimi acara terjun di Olimpik Paris 2024.

Sementara itu Bertrand berkata beliau gembira dengan kejayaan yang dicapainya setakat ini, selepas membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik tahun lalu.

Remaja berusia 19 tahun itu menamatkan kempen Paris 2024 di tempat ke-25 dalam kalangan 26 peserta pada pusingan awal acara 10m platform individu lelaki, dengan 313.70 mata keseluruhan.

Anak jati Sarawak itu berkata, beliau sedang cuba mempelajari kesukaran terjunan baharu dalam usaha menjadi penerjun lebih baik pada masa depan.

Ditanya tentang perancangan selepas ini, Bertrand berkata beliau kini memberi tumpuan kepada ujian kebangsaan di Bukit Jalil pada bulan depan, selain mahu menjalin keserasian lebih baik dengan Jellson Jabillin bagi acara seirama.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hannah yakin kemampuan Shapawi terajui Yakeb

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yakin dengan kepimpinan Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi baharu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Beliau berkata, pengalaman luas bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu dalam pengurusan sukan dapat membantu membela kebajikan bekas atlet negara selain memastikan mereka mendapat sokongan sewajarnya.

“Saya memilih beliau kerana mempunyai pengetahuan luas mengenai atlet di Malaysia. Saya juga telah melantik beberapa bekas atlet (sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yakeb) supaya mereka dapat membantu beliau,” katanya selepas merasmikan Stadium Pickleball di Kenanga Wholesale City Fashion Mall di sini hari ini.

Hannah seterusnya melahirkan keyakinan terhadap kepimpinan baharu Yakeb dan beliau pasti mereka akan meneruskan langkah baik yang dilaksanakan Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed selaku pengerusi sebelum ini.

Ahmad Shapawi menggantikan Noorul Ariffin bermula Ahad, dan beliau dibantu Ahli Lembaga Pengarah Yakeb bagi penggal 2025-2027 yang terdiri daripada Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Kewangan Hafiz Mat Ramly, Chan Hong Jin (Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan serta Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim (Pengarah Institut Sukan Negara).

Ahli lembaga pengarah lain ialah Normala Abdul Rashid (bekas pemain bola sepak negara/Presiden Kelab Sukan dan Amal Srikandi), Sharon Wee Ee Li (bekas atlet skuasy negara/Naib Presiden 1 Persatuan Raket Skuasy Malaysia), R Sharmendran (bekas atlet karate negara/Ketua Jurulatih Sementara Skuad Karate Kebangsaan) dan bekas pemain badminton negara Soo Beng Kiang.

Sementara itu Hannah berkata beliau optimis kem badminton negara mampu menghasilkan keputusan positif pada saingan kejohanan badminton Seluruh England 2025 di Birmingham yang membuka gelanggang esok.

“Kita ada jurulatih baharu dan ramai atlet profesional mewakili negara. Saya yakin mereka mempunyai kemahiran, cuma perlukan sedikit ketenangan dan lakukan yang terbaik (untuk mengharungi cabaran Seluruh England),” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aaron, Su Yin sah beraksi di Seluruh England

Kuala Lumpur: Jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia dan pemain beregu campuran, Cheng Su Yin bersedia mengenepikan kecederaan masing-masing untuk beraksi di Seluruh England, bermula esok.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengesahkan kedua-dua pemain itu akan turun beraksi di Birmingham.

“Mereka akan bermain dan sudah bersedia untuk beraksi,” katanya.

Sebelum ini, penyertaan Aaron-Soh Wooi Yik menjadi tanda tanya selepas Aaron mengalami kecederaan bahu ketika tewas di pusingan pertama Masters Orleans di Perancis, minggu lalu.

Situasi hampir sama turut menimpa Su Yin, yang nyaris terlepas penampilan sulungnya di Seluruh England akibat kecederaan buku lali selepas tergelincir di tangga di Orleans.

Insiden itu menyebabkan dia dan Hoo Pang Ron terpaksa menarik diri daripada suku akhir menentang beregu Indonesia, Rehan Kusharjanto-Gloria Widjaja, Jumaat lalu.

Untuk Seluruh England 2025, Aaron-Wooi Yik yang juga finalis edisi lalu, akan membuka tirai kempen menentang pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di pusingan pertama.

Sementara itu, Pang Ron-Su Yin akan berdepan cabaran Ki Dong Ju-Jeong Na Eun dari Korea Selatan.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Arif-Roy King perlu lebih berani hadapi lawan ‘elit’

Kuala Lumpur: Selepas perjalanan cemerlang di Masters Orleans, gandingan muda negara, Arif Junaidi-Yap Roy King, kini bersiap sedia untuk berdepan cabaran lebih besar di Seluruh England yang bakal membuka tirai esok hingga 16 Mac ini.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky kejayaan mara ke separuh akhir sebelum ini membuktikan Arif-Roy King semakin matang namun perlu tampil berani berdepan lawan berstatus elit.

“Dari pusingan pertama hingga suku akhir, saya puas dengan prestasi mereka. Tetapi dalam perlawanan menentang pasangan China (separuh akhir), mereka terlalu mahu bermain ‘sempurna’ dan sering memaksa pukulan hingga banyak melakukan kesilapan.

“Di Seluruh England nanti, mereka perlu lebih berani kerana tiada apa yang perlu ditakutkan,” kata Rexy yang pernah merangkul gelaran juara beregu lelaki bersama Ricky Subagja dua kali berturut-turut pada 1995 dan 1996.

Jelasnya lagi, kekalahan di separuh akhir Masters Orleans sudah dibincangkan, dan diharap ia menjadi pengajaran buat Arif-Roy King menjelang aksi di Birmingham.

Harapan kini disandarkan agar mereka mampu menampilkan permainan lebih agresif, terutama apabila berdepan pasangan-pasangan elit dunia.

Selain Arif-Roy King, beregu lelaki turut dibarisi Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hannah yakin kemarau Seluruh England berakhir

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh optimis skuad badminton negara mampu menamatkan kemarau kejuaraan di kejohanan berprestij Seluruh England yang bermula esok hingga 16 Mac di Utilita Arena Birmingham, England.

Beliau yakin pengalaman dimiliki barisan pemain negara, sama ada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau pemain profesional, mampu memberi kelebihan buat Malaysia untuk melakar kejayaan.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua pemain kita. Kita ada barisan kepimpinan jurulatih baharu dan ramai pemain profesional yang akan ke sana untuk mewakili Malaysia.

“Saya yakin mereka hanya perlu bertenang dan lakukan yang terbaik kerana dari segi kemahiran, mereka sudah ada. Cuma perlu lebih fokus dan bertenang,” katanya selepas majlis perasmian Stadium Pickleball KWC di ibu negara, semalam.

Dalam kejohanan itu, perseorangan lelaki BAM diwakili Leong Jun Hao, manakala beregu lelaki menampilkan pasangan nombor lima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, selain Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Arif Junaidi-Yap Roy King.

Beregu wanita pula dipikul gandingan utama negara, Pearly Tan-M Thinaah, sementara beregu campuran menyaksikan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin membawa cabaran Malaysia.

Barisan profesional turut hadir dengan misi menggegar kejohanan dengan Lee Zii Jia mengetuai cabaran perseorangan lelaki, manakala beregu lelaki mempertaruhkan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Beregu campuran profesional turut diperkuatkan oleh Goh Soon Huat-Shevon Lai, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menjuarai Seluruh England adalah menerusi Lee Zii Jia yang menewaskan Viktor Axelsen dari Denmark empat tahun lalu.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PERKHIDMATAN PEMBERSIHAN LUAR DAN DALAM BANGUNAN PENTADBIRAN, PENGINAPAN ATLET, BANGUNAN PUSAT LATIHAN, LANDSKAP DAN PEMOTONGAN RUMPUT KAWASAN DI KOMPLEKS MSN ,BUKIT JALIL, KUALA LUMPUR

Majlis Sukan Negara Malaysia