Kuala Lumpur: Bagi mengukuhkan kedudukan dalam skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan, Elmi Jumari yakin dapat membina momentum awal dengan mempamerkan aksi cemerlang di Piala Ketua Polis Negara (KPN), kejohanan kebangsaan dan Sukan Polis dan Bomba Dunia (WPFG) 2025.
Dia yang mengetuai skuad kebangsaan di Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun lalu, mengakui bahawa perlu menarik perhatian jurulatih negara, Yussof Nasir agar diberi peluang sekali lagi beraksi di kejohanan berprestij Asia itu dan perlu mula melakukan gerak kerja sebaik sahaja berakhir sambutan Aidilfitri.
“Selepas tidak jadi menyertai Tour Thailand yang berlangsung bulan ini, fokus saya adalah untuk beraksi cemerlang di ketiga-tiga kejohanan awal itu sebelum memikirkan mengenai perlumbaan jelajah lain yang pasti menjadi medan pemilihan ke LTdL tahun ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.
Elmi yang menjadi tular tahun lalu akibat kemalangan di peringkat kedua LTdL dari Arau ke Butterworth sehingga hampir menyebabkan jarinya putus dan gagal meneruskan perlumbaan, seakan mengiyakan bahawa dia masih lagi mempunyai urusan belum selesai.
“Tahun lalu amat perit buat saya selepas terbabit dalam kemalangan ngeri ketika menuju garisan penamat. Jadi kali ini saya berazam untuk kembali semula ke kejohanan berkenaan dengan syarat saya perlu mencapai keputusan cemerlang di semua kejohanan awal yang disertai.
“Sudah tentu saya mahu memburu podium di ketiga-tiga kejohanan awal itu sekali gus mendapat lampu hijau untuk kembali menyarung jersi kebangsaan dan kembali berkayuh di LTdL,” katanya yang juga seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Elmi idam untuk meraih pingat di kejohanan kebangsaan seperti yang dilakukannya pada 2021 di Melaka dan mengulangi pencapaian menaiki podium di WPFG Chengdu 2019.
Kejohanan kebangsaan bagi saingan lebuh raya akan berlangsung di Johor pada hujung Mei, manakala WPFG pula diadakan di Alabama, Amerika Syarikat (AS) dari 27 Jun hingga 6 Julai.
“Disebabkan WPFG kali ini diadakan di AS mungkin ia agak sukar buat saya untuk bersaing dengan pencabar dari Eropah, namun saya akan berikan yang terbaik dan persiapan sudah dilakukan bermula dari sekarang termasuk latihan di gimnasium serta berkayuh di sebelah malam,” kata pelumba berusia 35 tahun itu.