Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Rezeki Ramadan Nor Farah

PEMAIN boling padang nombor satu dunia, Nor Farah Ain Abdullah enggan menoleh ke belakang lagi apabila bertekad untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Gelaran tersebut menjadi tonik tambahan buat pemain berusia 24 tahun itu yang akan menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia di Aberdeen, Scotland bulan depan.

Malah, Nor Farah juga tidak mahu berasa tertekan dengan status tersebut, sebaliknya hanya ingin fokus kepada pertandingan dan mempertingkatkan lagi prestasi permainan.

“Bagi saya corak permainan ketika bertanding yang akan menentukan siapa pemenang. Jadi saya hanya mahu fikir positif dan seronok dengan permainan.

“Itu yang saya amal dan terapkan di minda ketika setiap kali turun beraksi,” katanya kepada Sukan Sinar.

Berdasarkan kemas kini ranking dunia wanita di World Bowls Series pada Selasa, Nor Farah menghuni kedudukan teratas dengan mengumpul 723 mata.

Pemain dari Scotland, Julie Forest berada di tangga kedua selepas mengumpul 683 mata, manakala Kelsey Cottrell dari Australia berada di tempat ketiga dengan 676 mata.

“Syukur Alhamdulillah rezeki yang datang pada bulan Ramadan ini. Sangat gembira apabila tahu saya naik ranking nombor satu.

“Ini adalah atas berkat doa semua yang menyokong saya, ibu bapa saya, barisan jurulatih dan kawan-kawan. Insya-ALLAH saya cuba yang terbaik untuk kekalkan ranking ini demi Malaysia,” katanya.

Nor Farah turut menjelaskan bagi mengekalkan konsistensi dalam permainan beliau menjalani latihan mengikut jadual yang diatur selain perlu mengamalkan rehat yang cukup.

“Saya juga menjalani proses pemulihan kerana ada kecederaan ringan di bahu kanan. Jadi saya perlu banyak buat senaman untuk bahagian tangan dan bahu untuk memastikan momentum latihan berjalan lancar,” katanya.

Sebagai rekod Nor Farah merupakan juara bertahan setelah meraih pingat emas dalam acara individu wanita Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia di Guernsey, Channel Islands pada April 2024.

Kejuaraan itu diraih selepas beliau menang bergaya 6-2, 6-3 ke atas Connie Rixon dari Malta dalam acara final.