Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia terus mengorak langkah dalam misinya menamatkan kemarau kejuaraan selepas melangkah ke suku akhir Masters Orleans di Perancis, sebentar tadi.
Beraksi di Palais des Sports pemain ranking ketujuh dunia itu hanya mengambil masa 30 minit untuk menyingkirkan bekas pemain nombor satu dunia dari India, K Srikanth dengan kemenangan straight set 21-11, 21-17 pada pusingan kedua.
Ini adalah kejohanan pertama buat Zii Jia musim ini selepas terpaksa berehat panjang akibat kecederaan buku lali kanan yang dialaminya ketika Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, Disember lalu.
Sebagai rekod, kali terakhir Zii Jia menjulang trofi adalah sembilan bulan lalu menerusi kejayaan di Terbuka Australia, Jun 2024.
Untuk perebutan tempat ke separuh akhir, pemain berusia 25 tahun itu akan berdepan pemenang antara pemain Jepun, Yushi Tanaka atau Nhat Nguyen dari Ireland, esok.
Bagaimanapun, kisah berbeza menyelubungi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila mereka dikejutkan dengan kekalahan di tangan pasangan baharu Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja di pusingan kedua, hari ini.
Tang Jie-Ee Wei yang adalah pilihan utama kejohanan tersingkir selepas tunduk 8-21, 17-21 dalam aksi yang menyaksikan Rehan-Gloria tampil lebih dominan sejak awal perlawanan.
Lebih mengejutkan, gandingan Indonesia itu hanya berada di ranking ke-173 dunia dan ini adalah kejohanan ketiga mereka bersama selepas muncul naib juara Terbuka Jerman, Ahad lalu.
Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei masih berpeluang menebus kehampaan apabila bakal sekali lagi bertemu Rehan-Gloria pada pusingan pertama Seluruh England di Birmingham, minggu depan.
Bagaimanapun, satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin berpeluang menebus kekalahan Tang Jie-Ee Wei apabila bakal membuat perhitungan dengan Rehan-Gloria di suku akhir, esok.
Terdahulu, Pang Ron-Su Yin mengesahkan tiket ke kelompok lapan terbaik selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi gandingan Taiwan, Ming Che Lu-Hung En Tzu 16-21, 21-13, 21-16 dalam tempoh 49 minit.