Kuala Lumpur: Atlet lompat kijang negara, Andre Anura Anuar disasarkan untuk meraih emas hatrik pada temasya Sukan Sea Thailand, Disember depan.
Ini kerana, sekiranya atlet berusia 25 tahun itu mampu merealisasikannya, Malaysia bakal mencipta sejarah mendominasi acara itu buat kali keenam berturut-turut.
Jurulatihnya, Ahmad Firdaus Salim berkata, Andre berpeluang mengikut jejak langkah bekas atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail yang melakar emas hatrik pada edisi di Singapura 2015, Kuala Lumpur 2017 dan Filipina 2019.
Andre meneruskan dominasi negara menerusi acara itu selepas merangkul emas di Hanoi 2021 serta Kemboja 2023.
“Untuk Andre sasaran kami mudah saja iaitu mahu dia kekalkan kejuaraan acara lompat kijang yang sudah kita menang selama lima edisi lalu.
“Jadi kami akan berusaha memastikan Andre menang buat kali keenam dan jika dia dapat melakukannya, Malaysia sudah dua kali meraih kemenangan hatrik, iaitu tiga menerusi Hakimi dan tiga kali daripada Andre,” katanya menerusi video dikongsikan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Jelas Ahmad Firdaus, beliau mahu melihat Andre terus menguasai pentas di Asia Tenggara serta peringkat lebih tinggi selepas ini.
“Walaupun atlet seperti Andre bertubuh kecil, dia sudah buktikan yang dia mampu menjuarai saingan di peringkat Asia Tenggara,” katanya.
Andre memenangi emas kali kedua berturut-turut dalam acara lompat kijang dua tahun lalu di Kemboja dengan catatan 16.06 meter (m).
Hakimi masih lagi pemegang rekod Sukan Sea kebangsaan dengan catatan 16.77m yang dilakukan ketika Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.
Andre pula adalah pemegang rekod kebangsaan bagi acara lompat jauh dengan catatan 8.02m yang dilakukannya ketika Sukan Sea Filipina 2019.