Kuala Lumpur: Atlet lompat bergalah wanita negara Nor Sarah Adi yang dalam fasa kritikal pemulihan kecederaan buku lali kanan meneruskan rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) bagi merealisasikan impiannya beraksi pada Sukan Sea 2025 di Thailand.
Pemenang pingat emas Sukan Sea 2021 berusia 24 tahun itu berkata doktor menjangkakan beliau boleh kembali berlatih hujung bulan ini dan beraksi di pentas kompetitif seawal Mei sekiranya proses pemulihan itu berjalan lancar tanpa sebarang halangan.
“Sekarang saya sudah tiga bulan menjalani pemulihan selepas pembedahan buku lali kanan pada Disember tahun lepas. Pagi dan petang saya masih melakukan sesi rehabilitasi. Sebelum ini saya pernah cedera di tempat sama. Kesakitan itu tidak hilang dan sampai tumbuh tulang seperti spur.
“… dan dah alang-alang, doktor juga membetulkan ligamen kaki saya. Alhamdulillah, setakat ini progres sangat baik, cuma tempoh pemulihan dipanjangkan sedikit supaya saya dapat kembali ke trek dalam keadaan terbaik,” katanya.
Nor Sarah berkata, pasukan perubatan ISN memberikan tumpuan kepada pemulihan menyeluruh termasuk pengukuhan pergelangan kaki, senaman sokongan, latihan mobiliti serta rawatan mobilisasi yang perlu dilakukan secara konsisten.
Beliau berjanji akan mengikuti setiap prosedur pemulihan dengan penuh disiplin kerana tidak mahu sejarah kecederaan berulang apabila kembali beraksi nanti, malah beliau juga tidak sabar untuk berlatih semula menggunakan ‘galah kesayangannya’ yang sudah lama menunggu di trek latihan.
“Saya yakin dengan tempoh yang ada, saya boleh pulih sepenuhnya dan mendapatkan slot ke Sukan Sea 2025 pada Disember ini,” katanya penuh optimis.
Nor Sarah sebelum ini pernah berdepan dugaan besar apabila galahnya ‘hilang’ sebelum aksi final pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022.
Nasib juga kurang menyebelahinya pada Sukan Sea 2023 apabila gagal melepasi dua lompatan awal, sekali gus pulang hampa tanpa mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi 2021.