Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sasaran Azeem mahu pecah rekod 100m kebangsaan

Kuala Lumpur: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus mempamerkan peningkatan dalam lariannya apabila sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan acara 60 meter (m) di dalam dewan pagi semalam, untuk meraih pingat gangsa pada Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC 2025.

Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard ketika dihubungi mengakui ia satu peningkatan yang membanggakan dipamerkan oleh Azeem sebelum dia memulakan musim kejohanan luar April ini dengan sasaran memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100m.

“Azeem menunjukkan kemajuan yang sangat baik. Dia berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 60m sebanyak dua kali.

“Sekarang kini tunggu pengesahan sama ada Azeem berada di kedudukan 16 terbaik untuk dia beraksi di pusingan akhir kejohanan NCAA pada 14-15 Mac ini.

“Keputusan itu mungkin kita akan peroleh pada Isnin atau Selasa ini,” katanya yang memaklumkan Azeem akan beraksi di siri NCAA sehingga Jun ini.

Antara kejohanan lain yang akan disertai Azeem tahun ini adalah Kejohanan Universiti Dunia, Kejohanan Dunia dan Sukan Sea, Thailand, Disember ini.

Pada kejohanan yang berlangsung di Texas, Amerika Syarikat itu, pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2024 yang mewakili Universiti Auburn itu mencatatkan 6.56 saat (s) untuk berada di tempat ketiga pada aksi final acara 60m yang berlangsung di Bryan-College Station, Texas, Amerika Syarikat (AS).

Catatan berkenaan menyaksikan atlet berusia 20 tahun itu memperbaharui rekod kebangsaan miliknya, iaitu 6.60s dalam acara sama yang dilakukan pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw di California, AS pada Februari lalu.

Emas acara 60 m itu dimenangi Jordan Antony dari AS mewakili University of Arkansas yang menamatkan perlumbaan dengan catatan 6.54s manakala rakan sepasukan Azeem, Israel Okon dari Nigeria akur di tempat kedua yang hanya dibezakan 0.01s.