Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pearly bersedia gegar Masters Orleans dan Seluruh England

Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita negara Pearly Tan mahu tampil lebih bertenaga apabila turun beraksi di kejohanan badminton Masters Orleans dan Seluruh England.

Malah Pearly mengakui jurulatih, Rosman Razak sangat membantu mereka berdepan rehat yang panjang sepanjang bulan lalu terutama dalam mencuba pendekatan baharu.

“Kehadiran jurulatih Rosman memang sangat bagus, dia banyak berkomunikasi dengan saya dan Thinaah.

“Komunikasi dua hala akan buat kami lebih bagus malah dia juga tahu kondisi saya dan Thinaah dengan baik,” katanya.

Justeru Masters Orleans akan menjadi titik tolak untuk melihat sejauh mana kemampuan mereka menamatkan kemarau gelaran.

Namun, cabaran buat beregu wanita negara tidak mudah kerana mereka akan diuji dengan beberapa gandingan pihak lawan yang baharu di gandingkan.

“Kami memang ada cuba beberapa pendekatan baharu dalam latihan, tapi bila kejohanan akan berbeza sedikit dengan latihan.

“Ada beberapa pasangan yang berpecah, itu akan jadi mencabar sikit sebab bila pasangan itu baru bersama, kita tak tahu macam mana strategi mereka.

“Jadi saya teruja untuk menentang pasangan baharu ini.

“Apapun kami tetap akan berikan yang terbaik dan jika kalah pun kami mahu kalah dengan bermaruah,” katanya yang teruja untuk beraksi dengan pasangan dari Korea, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong selepas dua kali tewas di tangan pasangan itu.

Mengenai sasaran di dua kejohanan berkenaan, Pearly berkata dia dan Thinaah mempunyai sasaran tersendiri namun enggan mendedahkannya.

Untuk rekod Masters Orleans akan bermula Selasa ini manakala Seluruh England akan membuka tirai dari 11 hingga 16 Mac ini.