Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives March 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aidil Sholeh juara Cabaran Antarabangsa Sri Lanka

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin melakar kejayaan bermakna dalam kariernya selepas muncul juara Cabaran Antarabangsa Sri Lanka 2025 hari ini.

Pemain ranking ke-68 dunia itu hanya memerlukan 47 minit untuk menewaskan pemain nombor 210 dunia dari India, Pranay Katta 21-19, 21-15 dalam aksi final di Kompleks Sukan St Joseph, Colombo.

Ia kejuaraan antarabangsa kedua buat pemain berusia 25 tahun itu selepas menjuarai Cabaran Antarabangsa Indonesia 2023 dan yang pertama sejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tahun lepas.

Terdahulu, dia berjaya mara ke final selepas menewaskan atlet tuan rumah, Viren Nettasinghe 21-16 21-18 pada aksi separuh akhir.

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah USD17,500 (kira-kira RM78,091).

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Faizal bersara, rugi skuad negara

Kuala Terengganu: Persatuan Hoki Terengganu (PHT) menyifatkan keputusan penyerang sensasi, Faizal Saari mengumumkan persaraan daripada mewakili skuad kebangsaan adalah satu kerugian besar.

Presidennya, Mohd Fikri Harun berkata, walaupun persatuan menghormati keputusan pemain berusia 34 tahun itu, namun ketiadaannya bakal memberi tamparan buat barisan depan skuad kebangsaan.

Hal ini kerana penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu masih berada pada tahap prestasi terbaik selepas muncul penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia (LHM) dengan meledak 32 gol dalam 12 perlawanan pada musim ini.

Malah tegas Mohd Fikri, pemain itu juga antara watak penting kejayaan THT menyapu bersih tiga kejuaraan dalam LHM selepas gagal melakukannya pada tahun lalu.

Namun beliau percaya pintu buat pemain itu untuk kembali memperkuatkan pasukan kebangsaan belum tertutup rapat lagi.

“Keputusan pemain hoki sensasi negara, Faizal untuk bersara daripada skuad kebangsaan ketika berada di puncak prestasi mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat dan pemerhati sukan.

“Dengan pencapaian luar biasa yang ditampilkan dalam LHM baru-baru ini, ‘kehilangan’ Faizal dianggap sebagai satu kerugian besar buat pasukan negara.

“Saya bagi pihak THT menghormati keputusannya yang mahu memberi tumpuan kepada pembangunan akademi hoki sendiri. PHT juga berjanji akan membantu akademinya daripada segi peralatan dan aspek lain yang diperlukan bagi memastikan bakat muda terus berkembang dalam sukan itu.

“Namun pada masa sama saya percaya pintu skuad negara tidak tertutup rapat lagi buatnya. Jika keadaan mengizinkan dan dia bersedia untuk kembali, peluang untuk menyarung jersi kebangsaan pasti masih terbuka.

“Buat masa ini peminat hoki negara hanya mampu menantikan perkembangan selanjutnya sama ada dia kekal dengan keputusannya atau mempertimbangkan semula untuk kembali menyumbang kepada skuad kebangsaan,” ujar Mohd Fikri ketika dihubungi.

Terdahulu abang kepada pemain tengah kebangsaan, Mohd Fitri mengumumkan persaraan daripada menyarung jersi skuad kebangsaan tetapi akan terus kekal beraksi dalam saingan domestik.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tak perlu panik kecederaan Aaron Chia – Herry Iman

Kuala Lumpur: Kecederaan berulang yang dialami oleh beregu negara, Aaron Chia tidak menggusarkan buat kem negara yang dalam persiapan berdepan Kejohanan Badminton Terbuka Orleans bermula Selasa ini

Ketua jurulatih beregu lelaki Akademi Badminton Malaysia (ABM), Herry Iman Pierngadi memaklumkan bahawa, kecederaan pergelangan tangan Aaron tidak serius dan dia dijangka akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat ini.

Justeru, Aaron-Wooi Yik dijangka tidak berdepan masalah untuk beraksi di Orleans sebelum turun memburu gelaran di Seluruh England minggu depan.

“Ia kecederaan berulang. Sekejap hilang kemudian datang lagi. Tak tahu bila kecederaan itu datang lagi tapi bagi saya ia bukan masalah besar kerana persiapan berjalan lancar.

“Tapi Aaron memang ada cakap masih sakit tapi dalam latihan nampak baik dan bagus. Tapi risau itu memang ada tapi ia akan menjadi biasa selepas pemulihan,” katanya yang mesra dipanggil Herry IP.

Mengulas mengenai sasaran, Herry tidak menafikan beliau meletakkan harapan tinggi iaitu muncul juara kepada beregu negara itu di Seluruh England.

Ini kerana, mereka akan turun dengan status selaku naib juara Seluruh England.

“Kita memang letakkan sasaran kepada mereka kerana setiap kejohanan perlu ada sasaran cuma dapat capai ataupun tidak. Semua itu bergantung pada kondisi mereka, terutamanya pada saingan Seluruh England nanti,” katanya.

Tambah Herry yang turut diberi julukan Naga Api, beliau tidak akan bersama Aaron-Wooi Yik pada jelajah Eropah itu nanti kerana berdepan masalah visa, namun beliau tetap memantau dan berkomunikasi dengan anak-anak buahnya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Misi dan perancangan khas buat Nurul Izzah untuk Olimpik Los Angeles

Kuala Lumpur: Sudah ada perancangan khas diatur buat pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri oleh Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) dalam persiapan untuk menjadikan dia antara atlet yang mampu mencabar pingat di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 nanti.

Antara yang akan diberi tumpuan adalah untuk pembentukan otot yang mana ia dilihat sebagai intipati penting sekiranya ingin merangkul pingat.

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, Mohd Harnizam Basri berkata, Izzah Izzati mampu untuk menjadi antara yang terbaik di dunia sekiranya dia berjaya meningkatkan jisim otot kerana dia sudah tiada masalah dari segi daya pecutan.

“Untuk membina otot ini perlukan masa dan perlu banyak rehat yang cukup seperti tidur dari lapan hingga 10 jam.

“Jadi dua bulan selepas Hari Raya nanti tumpuan akan diberikan ke arah untuk menaikkan ototnya.

“Ini kerana antara keirin dan pecut, kelebihan dia adalah lebih kepada keirin. Dari segi pecutan, memang dia sempurna tetapi otot perlu dibina lagi kerana saiznya yang kecil,” katanya.

Pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai Negeri Sembilan minggu lalu, Izzah mempamerkan aksi cukup bertenaga apabila meraih dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Paling manis, dia berjaya menewaskan juara dunia dari Jepun, Mina Sato untuk merangkul emas acara keirin selain mencatat rekod Asia 1:06.229 saat (s) ketika memenangi acara 1 kilometer (km) ujian masa.

Justeru Harnizam mahu Izzah untuk lebih memberi tumpuan dalam acara keirin kerana 1km ujian masa tidak dipertandingkan.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aaliyah raih tiga emas di kejohanan Universiti Dunia IWWF

Kuala Lumpur: Ratu luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah memulakan musim 2025 dengan cemerlang apabila meraih tiga pingat emas di Kejohanan Universiti Dunia Persekutuan Luncur Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF) di Auckland, New Zealand.

Atlet berusia 21 tahun itu meraih emas acara jump wanita selepas melakukan 44.7 meter (m), mengetepikan cabaran wakil Austria Lili Steiner yang mencatatkan 43.5m manakala wakil tuan rumah Lily Meade gangsa dengan 41.5m.

Aaliya meneruskan kecemerlangan dengan meraih emas kedua dalam acara tricks wanita dengan mencatat keseluruhan 7,970 mata mengatasi pencabar dari Kanada Hannah Stopnicki (5,760 mata) untuk perak manakala gangsa milik atlet Australia, Layne Moroney (5,050).

Bagi acara slalom pula, Aaaliya menamatkan saingan di tempat keenam dengan 2.00/55kph/12.00m.

Kejayaan dua emas acara jump dan tricks serta tempat keenam slalom, membolehkan Aaliya merangkul emas ketiga selepas muncul juara keseluruhan dengan jumlah dikumpul 2,863.64 mata., manakala Steiner di tempat kedua dan Meade ketiga.

“Emas pertama acara jump sangat luar biasa. Sejak 13 tahun lepas, setelah menangi emas acara tricks di Sukan SEA 2011 pada usia lapan tahun, saya yakin bahawa suatu hari nanti akan jadi juara dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, ketua jurulatih kebangsaan Hanifah Yoong mengakui terkejut dengan pencapaian Aaliya kerana Persekutuan Ski Air & Wakeboard Malaysia (MWWF) hanya menyasarkan satu pingat emas dalam kategori keseluruhan dan penamat podium bagi acara jump dan tricks.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sasaran Azeem mahu pecah rekod 100m kebangsaan

Kuala Lumpur: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus mempamerkan peningkatan dalam lariannya apabila sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan acara 60 meter (m) di dalam dewan pagi semalam, untuk meraih pingat gangsa pada Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC 2025.

Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard ketika dihubungi mengakui ia satu peningkatan yang membanggakan dipamerkan oleh Azeem sebelum dia memulakan musim kejohanan luar April ini dengan sasaran memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100m.

“Azeem menunjukkan kemajuan yang sangat baik. Dia berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 60m sebanyak dua kali.

“Sekarang kini tunggu pengesahan sama ada Azeem berada di kedudukan 16 terbaik untuk dia beraksi di pusingan akhir kejohanan NCAA pada 14-15 Mac ini.

“Keputusan itu mungkin kita akan peroleh pada Isnin atau Selasa ini,” katanya yang memaklumkan Azeem akan beraksi di siri NCAA sehingga Jun ini.

Antara kejohanan lain yang akan disertai Azeem tahun ini adalah Kejohanan Universiti Dunia, Kejohanan Dunia dan Sukan Sea, Thailand, Disember ini.

Pada kejohanan yang berlangsung di Texas, Amerika Syarikat itu, pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2024 yang mewakili Universiti Auburn itu mencatatkan 6.56 saat (s) untuk berada di tempat ketiga pada aksi final acara 60m yang berlangsung di Bryan-College Station, Texas, Amerika Syarikat (AS).

Catatan berkenaan menyaksikan atlet berusia 20 tahun itu memperbaharui rekod kebangsaan miliknya, iaitu 6.60s dalam acara sama yang dilakukan pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw di California, AS pada Februari lalu.

Emas acara 60 m itu dimenangi Jordan Antony dari AS mewakili University of Arkansas yang menamatkan perlumbaan dengan catatan 6.54s manakala rakan sepasukan Azeem, Israel Okon dari Nigeria akur di tempat kedua yang hanya dibezakan 0.01s.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pearly bersedia gegar Masters Orleans dan Seluruh England

Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita negara Pearly Tan mahu tampil lebih bertenaga apabila turun beraksi di kejohanan badminton Masters Orleans dan Seluruh England.

Malah Pearly mengakui jurulatih, Rosman Razak sangat membantu mereka berdepan rehat yang panjang sepanjang bulan lalu terutama dalam mencuba pendekatan baharu.

“Kehadiran jurulatih Rosman memang sangat bagus, dia banyak berkomunikasi dengan saya dan Thinaah.

“Komunikasi dua hala akan buat kami lebih bagus malah dia juga tahu kondisi saya dan Thinaah dengan baik,” katanya.

Justeru Masters Orleans akan menjadi titik tolak untuk melihat sejauh mana kemampuan mereka menamatkan kemarau gelaran.

Namun, cabaran buat beregu wanita negara tidak mudah kerana mereka akan diuji dengan beberapa gandingan pihak lawan yang baharu di gandingkan.

“Kami memang ada cuba beberapa pendekatan baharu dalam latihan, tapi bila kejohanan akan berbeza sedikit dengan latihan.

“Ada beberapa pasangan yang berpecah, itu akan jadi mencabar sikit sebab bila pasangan itu baru bersama, kita tak tahu macam mana strategi mereka.

“Jadi saya teruja untuk menentang pasangan baharu ini.

“Apapun kami tetap akan berikan yang terbaik dan jika kalah pun kami mahu kalah dengan bermaruah,” katanya yang teruja untuk beraksi dengan pasangan dari Korea, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong selepas dua kali tewas di tangan pasangan itu.

Mengenai sasaran di dua kejohanan berkenaan, Pearly berkata dia dan Thinaah mempunyai sasaran tersendiri namun enggan mendedahkannya.

Untuk rekod Masters Orleans akan bermula Selasa ini manakala Seluruh England akan membuka tirai dari 11 hingga 16 Mac ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Muhammad Azeem pecah rekod kebangsaan sekali lagi, raih gangsa

Kuala Lumpur: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan acara 60 meter (m) di dalam dewan awal pagi tadi, untuk meraih pingat gangsa pada Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC 2025.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2024 yang mewakili Universiti Auburn itu mencatatkan 6.56 saat (s) untuk berada di tempat ketiga pada aksi final acara 60 m yang berlangsung di Bryan-College Station, Texas, Amerika Syarikat (AS).

Catatan berkenaan menyaksikan atlet berusia 20 tahun itu memperbaharu rekod kebangsaan miliknya, iaitu 6.60 s dalam acara sama yang dilakukan pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw di California, AS pada Februari lepas.

Emas acara 60 m itu dimenangi Jordan Antony dari AS mewakili University of Arkansas yang menamatkan perlumbaan dengan catatan 6.54s manakala rakan sepasukan Muhammad Azeem, Israel Okon dari Nigeria akur di tempat kedua yang hanya dibezakan 0.01s.

Majlis Sukan Negara Malaysia