Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tiga sukan dicadang dipertandingkan di SUKMA Selangor

SHAH ALAM: E-sukan, catur dan silambam antara sukan tambahan yang dicadang dipertandingkan pada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 menerusi mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA, semalam.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, bagaimanapun ia akan dimuktamadkan selepas mesyuarat antara Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN).

“Semalam menerusi mesyuarat dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, kita mendengar laporan penganjuran SUKMA Sarawak dan kita juga membentangkan perancangan kita untuk SUKMA Selangor akan datang.

“Banyak perkara dipersetujui termasuk 28 sukan teras, cuma bagi sukan tambahan, ia belum dimuktamadkan. Antara sukan tambahan yang dicadangkan adalah e-sukan, catur dan silambam.

“Perbincangan perlu diadakan antara MSN negeri untuk meminta konsensus mereka berhubung sukan tambahan dan mengikut peraturan SUKMA, kita kena umumkan setahun sebelum kejohanan… jadi kita akan umumkan sebelum Ogos ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media Selangor Havoc Raya Fest 2025 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata, kerajaan Selangor berkemungkinan akan mengubah lokasi penganjuran Para SUKMA yang sebelum ini dicadang diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Pada mesyuarat semalam, dicadangkan ia dibuat di stadium yang lebih kecil kerana sukan Para SUKMA tak banyak yang mana terdapat 10 sukan tetap.

“Justeru kita nak buat dekat stadium yang lebih kecil, mungkin di stadium tertutup. Bagaimanapun, belum ada keputusan stadium mana,” katanya.