Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nurul Izzah teruja permulaan cemerlang musim 2025

Kuala Lumpur: Sensasi berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Asri teruja dengan permulaan cemerlang musim 2025 apabila mempertahankan gelaran juara keirin dan menggondol emas satu kilometer (km) ujian masa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai.

Lebih manis, kejayaan itu melengkapkan pencapaiannya di ACC kali ini dengan koleksi empat pingat – dua emas, satu perak dan satu gangsa.

Dia bukan sahaja memenangi emas dalam acara baharu untuk wanita iaitu 1km ujian masa, tapi turut mencipta sejarah apabila catatan 1 minit 06.229 saat (s) yang direkodkan adalah rekod baharu Asia memadamkan catatan 1:07.137s yang dilakukan dalam aksi kelayakan pada sebelah pagi semalam.

“Rasa sangat gembira dan bangga kerana berjaya mempertahankan gelaran juara keirin Asia.

“Tahun ini lebih istimewa kerana saya turut menang emas dalam acara 1km (ujian masa), memecahkan rekod kebangsaan dan Asia serta meraih perak serta gangsa dalam acara lain. Satu permulaan yang baik untuk 2025!” kata Izzah dalam satu hantaran di media sosialnya.

Pelumba berusia 22 tahun itu turut menzahirkan penghargaan kepada barisan kejurulatihan dan pengurusan yang sentiasa memberikan sokongan moral serta menyediakan fasiliti terbaik bagi memastikan kejayaannya.

“Saya tidak akan melupakan mereka yang sentiasa menyokong saya terutama keluarga dan rakan yang banyak memberi kata-kata semangat. Tanpa anda semua, saya tidak akan berada di tahap ini,” tambahnya.

Kejayaan itu mengukuhkan lagi status Nurul Izzah sebagai salah satu pelumba terbaik Asia ketika ini, sekali gus memberi petanda positif menjelang temasya lebih besar seperti Sukan Asia dan Sukan Sea yang akan datang.

Selepas ACC 2025, pelumba yang beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 itu dijangka akan meneruskan latihan intensif bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan lebih mencabar di Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye bulan depan yang turut menjadi medan untuk memburu mata kelayakan ke Kejohanan Dunia.

Menerusi momentum cemerlang ini, Nurul Izzah kini berada pada landasan terbaik untuk terus mengukir nama dalam arena berbasikal trek Asia dan dunia, sambil terus mengejar impian untuk beraksi di pentas Olimpik buat kali kedua di Los Angeles pada 2028.