Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
LTdL 2025 tanpa pendakian ke Genting Highlands, Bukit Fraser kembali

Putrajaya: Ketiadaan pendakian ke Genting Highlands buat kali kedua berturut-turut di Le Tour de Langkawi (LTdL) dalam laluan perlumbaan tahun ini tidak akan mencacatkan saingan berstatus ProSeries itu.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abd Jalal, keputusan itu dibuat berikutan kekangan kelulusan daripada pihak berkuasa serta faktor teknikal yang tidak dapat dielakkan.

“Kami memang mahu mengekalkan Genting Highlands sebagai sebahagian daripada laluan, tetapi disebabkan isu kelulusan dan faktor lain, kami terpaksa mencari alternatif.

“Bukit Fraser dipilih kerana ia masih menawarkan cabaran besar kepada pelumba,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pengenalan Laluan LTdL 2025 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

Pada tahun ini, beberapa perubahan laluan dibuat dalam perlumbaan termasuk pendakian ke Bukit Fraser yang terakhir digunakan sebagai ‘Queen’s Stage’ pada 2008 dan 2015.

Laluan itu akan memberikan cabaran unik dengan pendakian sepanjang 27 kilometer (km) dan ketinggian maksimum 1,221 meter.

Emir menambah, walaupun ketiadaan Genting Highlands, perlumbaan tetap menjanjikan persaingan sengit dengan variasi cabaran termasuk laluan berbukit dan laluan turun yang mencabar.

Dalam perkembangan lain, penganjur turut mengesahkan penyertaan tiga pasukan World Team, tujuh pasukan ProTeam, 11 pasukan benua dan satu pasukan kebangsaan.

Keputusan itu dijangka akan menjadikan perlumbaan lebih kompetitif dan terbuka kepada pelbagai strategi taktikal.

Dengan cabaran berbeza serta ketiadaan pendakian Genting Highlands, perlumbaan kali ini dijangka lebih terbuka dan tidak akan memihak kepada pendaki tulen sahaja.

Perlumbaan edisi 29 tahun ini berlangsung sejauh 1,257.8km membabitkan lapan peringkat bermula dari Langkawi melalui 12 negeri di semenanjung dan berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC) bermula 28 September sehingga 5 Oktober depan.