Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Harnizam puas hati prestasi pelumba trek di ACC 2025

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, Harnizam Basri meluahkan rasa puas hati terhadap pencapaian anak buahnya selepas tamat Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Velodrom Nasional, semalam.

Walaupun kejohanan kali ini lebih kepada proses ujian dan penyesuaian strategi, skuad negara melangkaui sasaran awal dengan meraih dua pingat emas, empat perak dan tiga gangsa.

Ini memberi gambaran positif dalam persiapan menuju Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan Sukan Sea Thailand, hujung tahun ini.

Dua emas disumbangkan The Pocket Rocketwoman, Nurul Izzah Izzati Asri bagi acara keirin dan 1 kilometer ujian masa.

Antara pencapaian lain yang membanggakan adalah kejayaan trio wanita negara, Nurul Izzah, Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Farid dalam acara pecut berpasukan dan turut mencipta rekod kebangsaan baharu dengan catatan 48.458 saat.

Dalam acara pecut individu, Nurul Izzah dan Shah Firdaus Sahrom masing-masing menyumbang pingat gangsa.

Harnizam mengakui kejohanan itu digunakan untuk menguji kombinasi pelumba dan strategi perlumbaan.

Beliau menyatakan pasukan masih dalam proses ‘trial and error’ untuk menentukan kombinasi terbaik bagi setiap acara terutama menjelang temasya besar tahun ini dan tahun depan.

“Saya melihat banyak perkembangan positif daripada kejohanan ini.

“Kami masih dalam fasa percubaan, tetapi arah yang kami ambil ini sangat baik untuk persiapan ke Sukan Asia dan Sukan Sea,” katanya.

Bagi persiapan selepas ACC 2025, pasukan akan berehat seketika sebelum menyertai kejohanan Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye bulan depan yang menawarkan mata kelayakan ke Kejohanan Berbasikal Trek Dunia (Oktober).

Harnizam mengakui cabaran lebih besar menanti kerana kejohanan itu bakal disertai pelumba terbaik dunia yang memburu tiket ke Olimpik.

Dari segi prestasi individu, Harnizam turut memuji peningkatan ditunjukkan oleh pelumba muda seperti Alyssa yang menggantikan Nurul Aliana Syafika Azizan dalam pasukan pecut wanita.

Walaupun baru pertama kali beraksi di peringkat elit, Alyssa menunjukkan potensi besar yang boleh digilap untuk masa depan.

Beliau turut menekankan kepentingan latihan berfokus termasuk program pembangunan otot dan kekuatan bagi memastikan pelumba negara mampu bersaing dengan jaguh dunia.

Dengan persiapan rapi dan strategi yang betul, beliau optimis skuad trek negara mampu mencipta kejutan pada kejohanan seterusnya.