Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sudah mengadakan pertemuan dengan beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bagi menerangkan program Road To Gold (RTG) selepas mereka sebelum ini tidak pernah menerima tawaran berkenaan.
Menurutnya, ramai pemain badminton negara sudah mengetahui mengenai program RTG dan pernah ditawarkan penyertaan, namun perkara itu tidak berlaku kepada Sze Fei-Izzuddin.
Ketika ditanya sama ada Sze Fei-Izzuddin berpeluang diserap ke dalam program RTG selepas menghuni ranking kedua dunia, Hannah menjelaskan keputusan dibuat berdasarkan prestasi semasa.
“Sebelum ini saya tidak berpeluang bertemu mereka (Sze Fei-Izzuddin) kerana mereka sentiasa menyertai kejohanan, tetapi sekarang mereka adalah pasangan No. 1 Malaysia dalam beregu lelaki.
“Mereka akan tahu sama ada masuk atau keluar daripada RTG berdasarkan ranking mereka.
“Semalam (kelmarin) saya bertemu mereka untuk menjelaskan bagaimana program RTG berfungsi serta mendengar cabaran yang mereka hadapi terutama selepas tidak lagi bersama BAM (Persatuan Badminton Malaysia),” kata Hannah selepas Majlis Pelancaran dan Pengenalan Laluan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, hari ini.
Terdahulu, Hannah bertemu dengan beregu profesional negara itu di Menara KBS bagi membincangkan mengenai program RTG, semalam.
Sementara itu, Hannah turut memberi bayangan lebih ramai atlet profesional berpeluang menerima sokongan program RTG menerusi jawatankuasa baharu yang akan diumumkan bulan Mac nanti.