Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sukri belum mahu bersara

Kuala Terengganu: Biarpun sudah merangkul pelbagai gelaran, kejayaan meraih kejuaraan treble bersama Pasukan Hoki Terengganu (THT) pada musim ini begitu bermakna buat Sukri Mutalib.

Tonggak pertahanan skuad The Turtles itu berkata, kejayaan berkenaan hadir tepat pada masanya selepas 21 tahun bergelumang dalam sukan diminatinya sejak dibangku sekolah rendah lagi itu.

Jelas guru Sekolah Sukan Bukit Jalil yang pernah membuat 351 penampilan bersama skuad negara, lebih manis pasukannya meraih tiga gelaran juara selepas gagal melakar sebarang trofi pada musim lalu.

Bagaimanapun, bekas kapten skuad kebangsaan musim 2016 hingga 2018 itu akui dia belum bersedia untuk menggantung kayu biarpun menghampiri usia 40 tahun pada musim depan.

“Kejayaan meraih tiga gelaran bersama THT pada kali ini begitu bermakna selepas gagal melakukannya pada musim lalu apabila sekadar naib juara. Saya boleh rumuskan kejayaan ini pencapaian begitu menakjubkan selepas 21 tahun bergelumang dalam sukan ini bermula dengan kelab Bank Simpanan Nasional (BSN) terutama selepas agak bergelut pada musim lalu.

“Terima kasih kepada rakan sepasukan yang berusaha gigih sehingga berjaya merangkul tiga kejuaraan tanpa mengalami sebarang kekalahan. Tidak lupa buat barisan kejurulatihan serta pihak pengurusan yang memberikan kepercayaan kepada saya membarisi pasukan, jika khidmat masih diperlukan saya belum bercadang lagi untuk bersara,” kata bekas murid Sekolah Kebangsaan Trolak Utara, Sungkai Perak itu.

Terdahulu pemain yang sudah empat musim bersama THT berjaya membantu pasukannya muncul juara Piala Sumbangsih, Piala Liga Hoki Malaysia dan Piala TNB musim 2025.