Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Pencapaian Sawda bukti keberkesanan program latihan Terryn

Kuala Lumpur: Pelantikan jurulatih Perancis, Herman Terryn, sebagai pengendali skuad trek remaja negara mula menunjukkan impak besar apabila pelumba muda, Sawda Hasbullah, berjaya memecahkan rekod dunia remaja dalam acara satu kilometer ujian masa individu di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) semalam.

Kejayaan itu bukan sekadar pencapaian luar biasa buat Sawda, tetapi juga bukti keberkesanan program latihan yang diterapkan Herman sejak mengambil alih pasukan.

Pengalaman luasnya melatih juara dunia sebelum ini terbukti memberi kelebihan kepada pelumba negara.

Menurut Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, mengakui peranan besar Terryn dalam membentuk bakat muda Malaysia sehingga mampu bersaing di peringkat dunia.

“Herman jurulatih yang hebat. Beliau pernah melatih juara dunia, dan kini kita dapat melihat hasil kerja kerasnya di Malaysia. Kejayaan Sawda membuktikan bahawa kita berada di landasan yang betul, dan dengan masa serta sokongan berterusan, kita boleh melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia,” kata Amarjit.

Beliau menegaskan bahawa PKBM tidak akan mensia-siakan pencapaian ini, dengan segera menghantar segala dokumen yang diperlukan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi mendapatkan pengiktirafan rasmi rekod dunia berkenaan.

“Momentum ini perlu dikekalkan. Kita harus terus menyokong program diterapkan Herman dan memastikan lebih ramai pelumba mendapat peluang untuk berkembang di bawah bimbingannya. Ini kebanggaan besar untuk Malaysia,” tambah Amarjit.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, turut mengucapkan tahniah kepada pencapaian Sawda, dengan menunjukkan ia berita baik buat kem berbasikal trek negara. Kita sambut sebagai berita sangat menggembirakan. Maksudnya, kita tidak kurang pelapis kita. InsyaAllah kita akan lihat bakat-bakat seperti Sawada ini terus mekar.

“Kita tahu kalau contoh sukan berbasikal trek sangat terhad dari segi bakat. Bukan semua orang boleh menonjol. Dia tidak sama seperti lebuh raya,” katanya.

Sawda melakukan catatan masa 1:10.818 saat dalam saingan final semalam ia diiktiraf sebagai rekod dunia di Velodrom Nasional, Nilai.