Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 24, 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Fadhil tekad tebus duka esok

Nilai: Pelumba negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis tekad untuk bangkit pada perlumbaan keirin esok, selepas aksi kurang memberangsangkan dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa lelaki Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 hari ini.

“Fokus saya untuk melepasi peringkat separuh akhir, sebelum cuba layak ke final,” kata pelumba berusia 27 tahun itu.

Pada edisi lepas di New Delhi, India, Muhammad Fadhil terpaksa menarik diri apabila mengalami jangkitan virus, manakala pada edisi 2023, beliau mencipta sejarah meraih emas acara 1km ujian masa yang pertama dalam kariernya dengan catatan 1 minit 00.559 saat (s).

Terdahulu, pada aksi di Velodrom Nasional di sini hari ini, Muhammad Fadhil terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tempat keempat selepas melakukan 1:00.895s.

Pingat emas dimenangi pelumba Jepun, Ryuto Ichida dengan catatan 1:00.057s, diikuti Liu Qi dari China (1:00.164s) untuk perak manakala gangsa milik Kirill Kurdidi dari Kazakhstan (1:00666s).

“Saya sudah berikan 100 peratus, cuma hari ini saya tewas kepada pelumba yang lebih baik,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Catatan Sawda disahkan rekod remaja dunia

Kuala Lumpur: Pelumba wanita remaja negara, Sawda Hasbullah terus mencipta nama apabila catatan masa 1:10.818 saat (s) dilakukannya pada final acara 1 kilometer ujian masa remaja di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 semalam diiktiraf sebagai rekod dunia.

Perkembangan terbaru itu dikongsikan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerusi hantaran di Instagram badan induk itu, hari ini.

“Sawda Hasbullah, pelumba berusia 17 tahun mencipta sensasi apabila memenangi pingat emas dalam acara 1km ujian masa remaja wanita yang baru diperkenalkan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2025,” tulis PKBM di gambar Sawda yang tertera kapsyen pemegang rekod dunia dan Asia.

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang turut berkongsi perkembangan terbaru itu di Instagram Story miliknya.

Semalam, catatan masa 1:10.818s itu diumumkan sebagai rekod Asia, namun perkembangan baharu itu kini meletakkan Sawda sebagai pelumba terbaik dunia dalam acara 1km ujian masa remaja wanita.

Sawda menggegarkan Velodrom Nasional Nilai, semalam, apabila meraih emas menewaskan pelumba dari Taiwan, Liu Shang Ying (1:11.936s) sementara Harshita Jakhara dari India pula meraih gangsa (1:12.848s).

Untuk rekod, kemenangan itu membolehkan Sawda mengumpul dua pingat selepas turut cemerlang dalam acara pecut berpasukan wanita remaja yang dibarisi oleh Nurul Akhma Atiqah Ahmed Haizan dan Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak menamatkan perlumbaan di tempat kedua selepas mencatat masa 51.93 saat (s) pada aksi final pada hari pertama.

Sawda akan turun dalam acara pecut pada esok untuk memburu pingat ketiga.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aaliyah idam pingat pertama 2025 di Auckland

Kuala Lumpur: Ratu luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah berazam untuk memulakan musim 2025 dengan cemerlang, sekali gus memenangi pingat pada Kejohanan Universiti Dunia Persekutuan Luncur Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF) di Auckland, New Zealand, Rabu ini.

Atlet berusia 21 tahun, yang tidak menyertai pertandingan selama lima bulan kerana komitmen pengajian di universiti dan menduduki peperiksaan tahun keduanya, optimis untuk menaiki podium di Orakei Basin, dekat pusat bandar Auckland.

Aaliyah berkata walaupun tidak menyertai kejohanan, dia tetap meneruskan latihan di pangkalan latihannya di Florida Southern College, tempat dia melanjutkan pengajian.

“Saya menjalani latihan dengan baik walaupun kurang menyertai pertandingan. Saya rasa bersemangat dan tidak sabar untuk menyertai pertandingan yang disertai 78 atlet dari 18 negara.

“Sasaran saya ialah menaiki podium dalam acara jump, tricks dan keseluruhan. Jika saya berjaya menaiki podium dalam mana-mana acara ini, ia akan menjadi pencapaian yang manis,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Malaysia (MWWF).

Kali terakhir Aaliyah memenangi pingat pada kejohanan dunia adalah Sukan Dunia 2022 di Alabama, Amerika Syarikat, dengan menggondol pingat gangsa dalam acara tricks wanita dan Kejohanan Bawah 21 Tahun Dunia 2023 di Chapala, Mexico apabila meraih gangsa dalam acara jump wanita.

Catatan peribadi terbaik (PB) semasanya adalah 8,450 mata dalam acara tricks iaitu rekod Asia, manakala PB bagi acara jump dan slalom masing-masing 48.3m dan 4.5/12/55.

Sementara itu, ketua jurulatih negara Hanifah Yoong berkata 2025 akan menjadi tahun penting bagi para atlet negara kerana sukan itu akan dipertandingkan semula di Sukan SEA di Thailand pada Disember serta edisi 2027 di Malaysia.

“MWWF mencadangkan program latihan dan pertandingan yang komprehensif sebagai persiapan atlet negara bagi kedua-dua Sukan Sea ini.

“Kami hanya menyenaraikan Aaliyah pada Kejohanan Universiti Dunia, tetapi akan menghantar lebih ramai atlet ke Kejohanan Asia yang akan berlangsung di Bangkok pada Jun serta Kejohanan Dunia yang dijadualkan pada Ogos di Recetto, Itali tahun ini,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia tuan rumah Piala Negara-Negara

Kuala Lumpur: Malaysia tuan rumah kejohanan hoki lelaki Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 21 Jun, tahun ini.

FIH dalam pengumumannya memaklumkan, kejohanan yang disertai lapan negara itu akan diadakan di ibu negara dengan juara akan layak beraksi di Liga Profesional 2025-26.

Selain Malaysia yang berada di ranking ke-13 dunia, turut beraksi pada kejohanan edisi ketiga kali ini ialah pasukan di ranking kesembilan Perancis, Afrika Selatan (11), New Zealand (12), Korea Selatan (14), Pakistan (15), Jepun (16) dan Wales (18).

Presiden FIH, Tayyab Ikram menzahirkan rasa gembira untuk melihat kejohanan itu kembali ke Malaysia selepas kali terakhir kejohanan FIH dianjurkan di negara ini iaitu Piala Dunia Remaja 2023.

“Tuan rumah sentiasa menjadi penganjur kejohanan hoki yang hebat dan perkara sama diharapkan untuk Piala Negara-Negara ini. Bagi pihak FIH, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan di Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan selamat kepada semua, dan terutamanya pemain semoga dapat memanfaatkan pengalaman ini sebaik mungkin untuk berkembang dan mencapai tahap seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal mengakui teruja dan yakin penganjuran kejohanan itu akan membawa bakat-bakat hoki dunia ke Malaysia.

“Kita amat bertuah kerana FIH memberikan kepercayaan kepada kita untuk menganjurkan kejohanan menakjubkan ini buat kali pertama. Kita juga berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang menyokong usaha kami untuk menganjurkan kejohanan ini,” katanya.

Kejohanan yang dilancarkan pada Jun 2021 itu adalah pentas pertandingan tertinggi menampilkan pasukan terbaik yang tidak menyertai Liga Profesional, dan memberi peluang kepada pasukan juara untuk beraksi di liga berkenaan pada musim berikutnya.

Afrika Selatan selaku tuan rumah edisi 2022, muncul juara pada edisi di Potchefstroom manakala New Zealand pada edisi 2023-24 di Gniezno, Poland.

Malaysia menduduki tempat keempat pada edisi pertama, dan ketujuh pada edisi tahun lalu.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
ACC 2025: Aisyah kutip perak kedua

Nilai: Pelumba wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir mengutip pingat perak kedua pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 selepas menamatkan saingan perlumbaan mata elit di tempat kedua, hari ini.

Aisyah yang membuat penampilan pertama di Sukan Olimpik Paris tahun lalu dalam acara berbasikal lebuh raya, mengumpul 20 mata pada saingan dengan jarak 25 kilometer (km) yang berlangsung di Velodrom Nasional.

Dia tewas kepada pelumba Jepun, Maho Kakita yang mengutip 44 mata manakala pelumba Uzbekistan, Nafosat Kozieva meraih gangsa selepas meraih 19 mata.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berjaya meraih pingat perak dalam acara ini. Saya sendiri tidak menyangka akan berada di podium kerana perlumbaan ini memang sangat mencabar kemampuan.

“Ia benar-benar menguji ketahanan fizikal dan mental kerana ada 100 pusingan selain setiap 10 pusingan ada pecutan,” katanya selepas tamat perlumbaan.

Semalam, pelumba negara itu turut meraih pingat perak menerusi acara scratch elit wanita.

Sementara itu, impian Muhammad Fadhil Mohd Zonis untuk memenangi pingat dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa tidak kesampaian.

Catatan masa 1 minit 896 saat (s) yang dilakukan Fadhil tidak mampu untuk memberikannya kemenangan di pentas podium.

Pingat emas dimenangi pelumba Jepun, Ryuto Ichida sementara perak diraih oleh pelumba dari China, Qi Liu manakala pelumba Kazakhstan, Kirill Kurdidi merangkul gangsa.

“Saya sudah memberikan 100 peratus dan langsung tidak rasa saya kurang dalam apa-apa aspek. Cuma, hari ini saya tewas kepada pelumba yang lebih baik,” kata Fadhil.

Fadhil akan beraksi dalam acara keirin esok dengan sasaran layak ke final.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sawda fokus pecutan emas

Kuala Lumpur: Pelumba remaja meningkat naik, Sawda Hasbullah beralih tumpuan kepada acara pecut wanita, bermula esok dalam usaha menampilkan satu lagi kayuhan memukau di hadapan penyokong sendiri pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025.

Baginya, kemenangan pingat emas dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa semalam akan menaikkan semangat untuk dirinya memburu kedudukan podium sekali lagi selain berusaha menambah koleksi pingat peribadi ketiga pada kejohanan itu.

“Saya cuba menggunakan kemenangan pingat emas ini sebagai motivasi untuk perlumbaan akan datang (pecut) dan untuk pingat, saya sasar untuk dapatkan pingat dan tidak kisah warna apa pun. Janji menang,” katanya.

Terdahulu, atlet berusia 17 tahun itu mempamerkan prestasi luar biasa apabila bukan sahaja menghadiahkan pingat emas buat kem berbasikal remaja negara, malah dia juga berjaya mencipta rekod baharu Asia dengan catatan masa 1:10.818 saat (s) di pentas final.

Ia sekali gus memadam rekod lama yang dilakukan oleh wakil Taiwan, Liu Shang Ying, 1:12.722s pada sesi kelayakan di sebelah pagi.

Menurut Sawda, dirinya bergelut sedikit dalam acara itu tetapi sangat gembira selepas berjaya mempamerkan kayuhan emas di gelanggang sendiri sekali gus mengubati luka dalam acara keirin kelmarin apabila gagal menghadiahkan pingat susulan berakhir di tempat keempat.

“Semalam saya sangat kecewa kerana dapat nombor empat dan hari ini, Alhamdulillah saya dapat menggantikan kemenangan dengan lebih baik.

Dalam final ini, saya cuba yang terbaik dan tidaklah aspek 100 peratus (untuk menang) tapi saya yakin boleh lakukannya,” katanya selepas final acara itu, di sini.

Pada aksi final itu, Shang Ying meraih pingat perak (1:11.936s) sementara Harshita Jakhara dari India pula meraih gangsa (1:12.848s).

Untuk rekod, selain emas acara 1km ujian masa, Sawda turut cemerlang dalam acara pecut berpasukan wanita selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan mencatat masa 51.93 saat (s) pada aksi final pada hari pertama.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KERJA-KERJA PENYELENGGARAN DAN PEMBERSIHAN LUAR BANGUNAN SERTA PEMOTONGAN RUMPUT KAWASAN SECARA KONTRAK DI KOMPLEKS MSN PAGOH, JOHOR UNTUK MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Negeri Johor serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

221002 – MEMBERSIH KAWASAN

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/002/2025 (SPK)
TAJUK SEBUT HARGA : KERJA-KERJA PENYELENGGARAN DAN PEMBERSIHAN LUAR BANGUNAN SERTA PEMOTONGAN RUMPUT KAWASAN SECARA KONTRAK DI KOMPLEKS MSN PAGOH, JOHOR UNTUK MAJLIS SUKAN NEGARA MALAYSIA
TARIKH BUKA : 24 FEBRUARI 2025 (ISNIN)
TAKLIMAT : 26 FEBRUARI 2025 (RABU/10.00 PAGI)
& LAWATAN TAPAK DI KOMPLEKS MSN PAGOH, JOHOR
TARIKH TUTUP : 5 MAC 2025 (RABU)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran). Kehadiran semasa sesi taklimat dan lawatan tapak adalah diwajibkan. Pihak kontraktor juga diwajibkan membawa salinan lesen dan cop syarikat semasa lawatan tapak tersebut.

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Peti Sebutharga & Tender Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-
Cik Norfarizan Noordin@Mustapha ( Urusetia Perolehan) : 03-89929066
En. Mohd Rizal Mohd Shukri ( Spesifikasi Teknikal) : 03-89929702

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Hafiz raih trofi sulung di UAE

Kuala Lumpur: Pemain boling negara,, Muhammad Hafiz Zainuddin mempamerkan prestasi cemerlang apabila berjaya meraih kejuaraan sulung pada Kejohanan Boling Antarbangsa Dubai ke-11 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Meskipun Hafiz turun dalam kategori terbuka, dia tetap memberikan persembahan terbaik untuk melakukan 1,744 jatuhan pin pada aksi di Pusat Boling Antarabangsa Dubai itu.

Kejuaraan itu amat bermakna kerana dia dan seorang lagi wakil negara, Muhammad Syazirol Shamsudin mengeluarkan dana sendiri bagi membolehkan mereka menyertai kejohanan itu.

“Kedua-dua atlet ini menanggung sendiri perbelanjaan mereka untuk beraksi pada kejohanan tersebut dan tidak ada atlet Malaysia yang lain selain mereka berada di sana,” kata Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok.

Dalam pertandingan itu, wakil Bahrain, Ahmed Al Mahri meraih pingat perak selepas melakukan 1,731 jatuhan pin diikuti wakil tuan rumah, Hassan Al Zaabi memenangi gangsa dengan 1,729 jatuhan pin manakala Syazirol di tempat kelima selepas melakukan 1,722 jatuhan pin.

Dengan status juara, Hafiz mendapat durian runtuh apabila membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah 50,000 AED (RM60,000) berserta trofi.

Dalam perkembangan lain, tiga atlet sandaran seperti Muhammad Rafiq Ismail, Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Mohd Fishol sedang melakukan persiapan sebelum ke Amerika Syarikat 27 Februari ini.

Ketiga-tiga atlet berkenaan akan menyertai seorang lagi atlet negara, Timmy Tan sebelum beraksi pada kejohanan Siri Boling Dunia yang berlangsung di Nevada bermula 3 hingga 22 Mac depan.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PERKHIDMATAN PENYELENGGARAAN PEMBERSIHAN LUAR DAN DALAM BANGUNAN SERTA PEMOTONGAN RUMPUT KAWASAN SECARA KONTRAK BERKALA DI KOMPLEKS PERAHU LAYAR PENGKALAN BALAK, MELAKA UNTUK MSNM

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Negeri Melaka serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

221001 – KHIDMAT PEMBERSIHAN & RAWATAN – PEMBERSIHAN BANGUNAN DAN PEJABAT
221002 – MEMBERSIH KAWASAN

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/003/2025 (SPK)
TAJUK SEBUTHARGA : PERKHIDMATAN PENYELENGGARAAN PEMBERSIHAN LUAR DAN DALAM BANGUNAN SERTA PEMOTONGAN RUMPUT KAWASAN SECARA KONTRAK BERKALA DI KOMPLEKS PERAHU LAYAR PENGKALAN BALAK, MELAKA UNTUK MSNM
TARIKH BUKA : 24 FEBRUARI 2025 (ISNIN)
TAKLIMAT : 26 FEBRUARI 2025 (RABU/3.00 PETANG)
& LAWATAN TAPAK DI KOMPLEKS PERAHU LAYAR, PENGKALAN BALAK, MELAKA
TARIKH TUTUP : 5 MAC 2025 (RABU)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
Encik Mohd Rizal Mohd Shukri (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929702

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Izzah laung amaran

Kuala Lumpur: Bintang berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri melaungkan amaran awal bahawa dirinya akan turun pada acara keirin esok dalam misi menambah koleksi pingat peribadi ketiga di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025.

Selepas cemerlang meraih dua pingat sebelum ini, motivasi Izzah Izzati kini dilihat cukup tinggi dan sudah pasti berada di landasan terbaik untuk meneruskan momentum kayuhan pingat buat kem berbasikal negara.

Jelasnya, dia tetap akan berikan persembahan yang terbaik walaupun menyedari persaingan hebat daripada negara lain dalam perlumbaan keirin esok.

“Untuk keirin, memang saya nak cuba buat yang terbaik seperti sebelum ini sebab keirin salah satu acara pilihan saya juga. Saya nak jadi lebih berani dan berikan saingan kepada pelumba yang lain.

“Untuk pingat, tiada sasaran spesifik tetapi saya nak (dapatkan) pingat. Tiada yang mustahil dan akan berikan yang terbaik sebab saya pun sudah berlatih banyak kali. Contoh kalau ada kesilapan di keirin, saya harap lepas ini akan terus tingkatkan semangat,” katanya.

Sebelum ini, pelumba berusia 22 tahun itu berjaya meraih pingat perak pertama dalam acara pecut berpasukan pada Jumaat lalu sebelum menghadiahkan gangsa bagi acara pecut wanita semalam.

Selain itu, dirinya akan turun dalam satu lagi acara iaitu 1 kilometer ujian masa dan dirinya tetap bersemangat untuk memberikan yang terbaik serta cuba berusaha mendapatkan pingat.

Majlis Sukan Negara Malaysia