Nilai: Pelumba wanita remaja negara, Sawda Hasbullah terus mencipta nama apabila berjaya meraih emas dalam acara 1 kilometer ujian masa dengan catatan masa 1:10.818 saat (s) pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025.
Dalam perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai, hari ini, atlet berusia 17 tahun itu turut mencipta rekod baharu Asia dan memadam catatan lama yang dilakukan oleh pelumba dari Taiwan, Liu Shang Ying, 1:12.722s di sebelah pagi.
Menurut Sawda, dirinya bergelut sedikit dalam acara itu untuk menampilkan aksi terbaik dan dia sangat gembira selepas berjaya mempamerkan kayuhan emas di gelanggang sendiri.
Malah, kemenangan hari ini juga membolehkan dia mengubati luka dalam acara keirin semalam apabila gagal menghadiahkan pingat selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
“Sebab acara ini, kita bermula dengan kelajuan terus dan bagi saya, untuk kekalkan (momentum) sehingga habis empat pusingan itu sedikit susah kerana bagi kita akan mati langkah dari segi kelajuan itu.
“Semalam saya sangat kecewa kerana dapat nombor empat dan hari ini, Alhamdulillah saya dapatkan menggantikan kemenangan dengan lebih baik.
“Dalam final ini, saya cuba yang terbaik dan tidaklah aspek 100 peratus (untuk menang) tapi saya yakin boleh lakukannya,” katanya selepas final acara itu, di sini.
Pada aksi final itu, Shang Ying meraih pingat perak (1:11.936s) sementara Harshita Jakhara dari India pula meraih gangsa (1:12.848s).
Untuk rekod, kemenangan itu membolehkan Sawda mengumpul dua pingat selepas turut cemerlang dalam acara pecut berpasukan wanita remaja yang dibarisi oleh Nurul Akhma Atiqah Ahmed Haizan dan Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak menamatkan perlumbaan di tempat kedua selepas mencatat masa 51.93 saat (s) pada aksi final pada hari pertama.
Selepas ini, dia akan turun dalam acara pecut pada hari Selasa ini untuk memburu pingat ketiga.