Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Dana RM3 juta tanda sokongan KBS kepada sukan pekak negara

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan sentiasa mengalu-alukan pembabitan dan menghargai pembabitan semua golongan yang terbabit dalam sukan sama ada secara serius atau tidak.

Atas sebab itu Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) turut mendapat perhatian KBS dengan mereka kini dimasukkan ke dalam akta pembangunan sukan yang sebelum ini hanya membabitkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Ketua Setiausaha KBS, Datuk Dr Nagurendran yang ditemui pada Majlis Anugerah Sukan Pekak Negara di sini hari ini berkata, usaha yang dilakukan MSDeaf dalam membangunkan sukan orang pekak amatlah dihargai.

“Atas sebab itu buat julung kalinya dalam belanjawan kerajaan memperuntukkan RM3 juta sebagai suntikan dana buat mereka yang dalam persiapan menyertai Deaflympics di Tokyo dan Sukan Orang Pekak Asean Julai ini di Jakarta, Indonesia.

“Ini kerana KBS sentiasa menyokong semua aktiviti sukan kerana selain menyumbangkan pingat ia turut menggalakkan aktiviti sihat dan instrumen perpaduan yang sangat baik,” katanya.

Justeru beliau berharap dana berkenaan cukup untuk atlet pekak negara melakukan persiapan ke dua sukan utama iaitu Deaflympics dan Sukan Orang Pekak Asean.

Untuk rekod kontinjen pekak negara akan beraksi dalam acara catur, olahraga, badminton dan futsal di Deaflympics Tokyo.

Manakala lima acara di Sukan Orang Pekak Asean iaitu badminton, olahraga boling, futsal dan catur dengan Malaysia muncul juara keseluruhan di kejohanan yang sama pada 2022.

Terdahulu pada anugerah yang julung kali diadakan itu menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) menyediakan insentif Khas bernilai RM108,000 kepada atlet yang meraih pingat emas, perak dan gangsa Sukan Asia Pasifik di Kuala Lumpur.