Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 21, 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
TAKLIMAT PROGRAM MACE KEPADA PENGURUS SUKAN MSN

Taklimat mengenai fungsi dan tanggungjawab Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) telah diberikan kepada pengurus sukan Majlis Sukan Negara pada 20 Feb 2025.

Taklimat ini turut membentangkan cadangan pelaksanaan program-program bagi tahun 2025 untuk elemen pendidikan, kerjaya dan juga kebajikan agar program yang dirancang tidak bertindih dengan pelaksanaan program-program lain.

Selain itu, Puan Ang Li Peng yang merupakan “Safe Guarding Officer” bertauliah dari International Olympic Council (IOC), peguam dan bekas pemain badminton negara turut hadir bagi memberi taklimat mengenai Sukan Selamat sebagai panduan untuk memastikan persekitaran sukan yang bebas dari sebarang bentuk penderaan, gangguan, keganasan, dan ancaman keselamatan.

Seramai 24 pengurus sukan daripada Bahagian Atlet dan Bahagian Paralimpik telah hadir ke taklimat tersebut.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Dana RM3 juta tanda sokongan KBS kepada sukan pekak negara

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan sentiasa mengalu-alukan pembabitan dan menghargai pembabitan semua golongan yang terbabit dalam sukan sama ada secara serius atau tidak.

Atas sebab itu Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) turut mendapat perhatian KBS dengan mereka kini dimasukkan ke dalam akta pembangunan sukan yang sebelum ini hanya membabitkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Ketua Setiausaha KBS, Datuk Dr Nagurendran yang ditemui pada Majlis Anugerah Sukan Pekak Negara di sini hari ini berkata, usaha yang dilakukan MSDeaf dalam membangunkan sukan orang pekak amatlah dihargai.

“Atas sebab itu buat julung kalinya dalam belanjawan kerajaan memperuntukkan RM3 juta sebagai suntikan dana buat mereka yang dalam persiapan menyertai Deaflympics di Tokyo dan Sukan Orang Pekak Asean Julai ini di Jakarta, Indonesia.

“Ini kerana KBS sentiasa menyokong semua aktiviti sukan kerana selain menyumbangkan pingat ia turut menggalakkan aktiviti sihat dan instrumen perpaduan yang sangat baik,” katanya.

Justeru beliau berharap dana berkenaan cukup untuk atlet pekak negara melakukan persiapan ke dua sukan utama iaitu Deaflympics dan Sukan Orang Pekak Asean.

Untuk rekod kontinjen pekak negara akan beraksi dalam acara catur, olahraga, badminton dan futsal di Deaflympics Tokyo.

Manakala lima acara di Sukan Orang Pekak Asean iaitu badminton, olahraga boling, futsal dan catur dengan Malaysia muncul juara keseluruhan di kejohanan yang sama pada 2022.

Terdahulu pada anugerah yang julung kali diadakan itu menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) menyediakan insentif Khas bernilai RM108,000 kepada atlet yang meraih pingat emas, perak dan gangsa Sukan Asia Pasifik di Kuala Lumpur.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Atlet pekak negara terima insentif khas, RM108,000

Kuala Lumpur: Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) buat pertama kalinya berjaya merealisasikan Anugerah Sukan Pekak Negara 2024 (ASPN) dengan insentif khas berjumlah RM108,000 diberikan kepada atlet pekak negara yang cemerlang di kejohanan yang disertai.

Pada majlis gilang-gemilang yang berlangsung di ibu negara itu menyaksikan Mohd Zaidi Awang dari sukan boling dinobatkan sebagai Olahragawan MSDeaf manakala Boon Wei Ying dari sukan badminton diumumkan sebagai Olahragawati.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Dr Ong Shin Ruenn berkata, beliau amat berbesar hati dengan kejayaan yang dilakarkan oleh barisan atlet pekak yang berjaya mengharumkan nama negara sepanjang tahun 2022 hingga ke tahun 2024 terutama di Sukan Asia Pasifik di Kuala Lumpur tahun lalu.

Selain itu, antara kejayaan gemilang yang dilakarkan oleh atlet pekak adalah merangkul dua emas, empat perak dan dua gangsa di Sukan Deaflympics di Caxias do Sul, Brazil 2021.

Rentetan kejayaan itu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Belanjawan lalu mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada MSDeaf sebagai persiapan buat atlet yang akan mewakili negara di Sukan Orang Pekak Asean di Jakarta pada Julai dan Deaflympics Tokyo, November ini

“Pertama kali saya berterima kasih kepada KBS dan semua yang bersama meluluskan belanjawan RM3 juta itu untuk persiapan dan latihan kami.

“Ia amat penting kerana dapat mendorong atlet berlatih sepenuh masa secara inklusif di peringkat antarabangsa berikutan banyak cabaran yang terpaksa kami lalui.

“Saya harap dengan suntikan dana RM3 juta ini dapat membantu kami melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” katanya.

Justeru pada tahun ini di Tokyo, Shin Ruenn meletakkan sasaran untuk merangkul tiga emas dalam acara yang disertai iaitu catur, olahraga, badminton dan futsal.

Dalam perkembangan yang sama, Shin Ruenn turut berharap kerajaan selepas ini dapat mengiktiraf sukan pekak sama seperti sukan normal dan para.

Turut hadir menyampaikan anugerah adalah, Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah bersama-sama Ketua Setiausaha KBS, Datuk Dr Nagurendran.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Abdul Aziz Abdul Rahman dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Suhardi Alias.

Majlis Sukan Negara Malaysia