SHAH ALAM: Selangor tidak akan menormalisasikan budaya songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) atau unsur negatif dalam sebarang acara sukan yang dipertandingkan mahupun persembahan sepanjang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di negeri ini, tahun hadapan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan semua pihak berwajib bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku.
“Untuk penganjuran SUKMA 2026, kita mengambil ketetapan dan menjamin tidak akan ada sebarang unsur-unsur promosi atau normalisasi budaya-budaya LGBT.
“Jadi untuk Selangor kita tegas, konsisten dan komited untuk memastikan sebarang bentuk, elemen normaliasi kepada fahaman dan budaya LGBT ini tidak akan kita sokong dan kita akan banteras dengan kerjasama dan dokongan daripada pelbagai agensi.
“Insha Allah dalam kejohanan sukan kita dan penganjuran acara kita, kita akan pastikan tiada sebarang bentuk normalisasi terhadap budaya dan fahaman ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan soalan tambahan Abbas Salimmi Azmi (PH-Sri Serdang) berhubung pendirian kerajaan dan Majlis Sukan Negeri (MSN) dalam penganjuran SUKMA 2026 agar tidak dipengaruhi unsur negatif dan memastikan acara persembahan hiburan semasa temasya sukan itu terkawal.
Pada masa sama, beliau menegaskan, atlet lelaki mahupun wanita hanya boleh menyertai pertandingan sukan mengikuti jantina masing-masing sahaja pada SUKMA Selangor.
“Kalau kita lihat kejohanan sukan sebelum ini seperti Olimpik di Paris sebelum ini, yang mana atlet yang secara biologi lelaki boleh bertanding dalam sukan wanita.
“Jadi dalam SUKMA di Selangor kita akan memastikan satu garis panduan bahawa hanya lelaki asli yang boleh masuk bertanding dalam kategori lelaki dan perempuan asli boleh masuk bertanding dalam kategori perempuan. Ada dua sahaja, lelaki atau perempuan, selain daripada itu perlu rawatan,” katanya.