SEREMBAN: Pelumba kebangsaan, Abdul Azim Aliyas menyasarkan untuk merangkul pingat gangsa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 yang akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, bermula esok.
Atlet muda berusia 22 tahun di bawah Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan (PBNS) itu optimis impian berkenaan mampu direalisasikannya walaupun diakui bukan mudah kerana bakal berhadapan dengan pelumba handalan antaranya dari negara Jepun, Korea Selatan dan China.
Dia yang bakal beraksi dalam acara endurance (men elite point race), akan memulakan saingan pada Isnin.
“Saya mahukan pingat pada kejohanan ATC kali ini selepas impian itu tidak kesampaian pada kejohanan yang sama di New Delhi sebelum ini apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
“Saya berharap kali ini ia akan membuahkan hasil dengan kejayaan meraih pingat sekurang-kurangnya gangsa dan sudah bersedia untuk memulakan kayuhan cemerlang apabila turun memulakan saingan pada Isnin nanti,” kata Azim, hari ini.
Pelumba kelahiran Seremban ini percaya menerusi bimbingan jurulatih Amir Mustafa Rosli dan pengalamannya beraksi dalam banyak kejohanan tempatan serta antarabangsa, dia mampu memberikan cabaran lebih bermakna pada edisi di tempat sendiri tahun ini.
“Saya mendapat sokongan bukan sahaja daripada jurulatih dan rakan pelumba, tetapi juga ahli keluarga terutama ibu dan ayah. Mereka memberikan rangsangan dan motivasi tinggi untuk saya mencapai prestasi terbaik di pentas ATC kali ini.
“Saya berharap persiapan terbaik yang dilakukan kali ini mampu mencapai impian berkenaan,” katanya yang pernah menjalani latihan peringkat tertinggi di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) di beberapa negara antaranya Belgium, Australia dan United Kingdom.