Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 20, 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Azizul tunggu masa sesuai umum hala tuju

Petaling Jaya: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, pihaknya bersama jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang sedang menunggu masa sesuai untuk mengumumkan hala tuju karier bekas juara dunia keirin itu.

Hannah berkata, pertemuan selama kira-kira satu jam 30 minit dengan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Isnin lalu berlangsung dalam suasana positif.

Namun, katanya hasil perbincangan itu sedang diteliti dan akan diumumkan bersama kelak.

“Saya sudah jumpa dengan Azizulhasni, kita adakan perbincangan yang bagus tetapi hasil perbincangan itu kita sedang meneliti dan bila masa yang sesuai kita akan umumkan bersama,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Program Pembangunan Sukan Olimpik di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh yakin keputusan yang bakal dibuat adalah yang terbaik untuk negara dan sukan berkenaan.

“Saya sedia maklum mengenai pertemuan antara menteri dan Azizulhasni tetapi buat masa ini saya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan. Kita akan mengadakan satu acara khas untuk memaklumkan kepada semua mengenai hala tuju serta langkah beliau seterusnya.

“Saya yakin ini keputusan terbaik bagi negara dan juga untuk sukan ini,” katanya.

Disember lalu atlet berusia 37 tahun itu yang mendapat julukan “The Pocket Rocketman” dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan Hannah sebelum memberi kata putus berhubung masa depannya.

Terdahulu, Azizulhasni mengesahkan dirinya tidak akan mengambil bahagian pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan dari 21 hingga 27 Februari ini.

Bagaimanapun, dia tidak menolak kemungkinan kembali berkayuh, tetapi masih belum menetapkan tempoh masa untuk berbuat demikian.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
BENGKEL PENYELARASAN PROGRAM PEMBANGUNAN SUKAN OLIMPIK

Majlis Perasmian Program Pembangunan Sukan Olimpik telah disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, bertempat di Hotel Dorsett Grand, Subang.

Demi usaha memperkukuh struktur program tersebut, satu bengkel penyelarasan diadakan pada 20 hingga 21 Februari sebagai sebahagian daripada inisiatif MSN untuk membincangkan perkara berkaitan kriteria atlet, struktur pertandingan, program binaan, KPI dan penanda aras bersama beberapa pemegang taruh utama yang terdiri daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Institut Sukan Negara, Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Sukan Kebangsaan.

Lapan sukan yang terlibat ialah Akuatik (Renang dan Terjun), Olahraga, Skuasy, Berbasikal, Badminton, Taekwondo, dan Memanah.

Sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan bagi menjayakan program pembangunan ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
ATC 2025 pentas Azim tebus kehampaan

SEREMBAN: Pelumba kebangsaan, Abdul Azim Aliyas menyasarkan untuk merangkul pingat gangsa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 yang akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, bermula esok.

Atlet muda berusia 22 tahun di bawah Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan (PBNS) itu optimis impian berkenaan mampu direalisasikannya walaupun diakui bukan mudah kerana bakal berhadapan dengan pelumba handalan antaranya dari negara Jepun, Korea Selatan dan China.

Dia yang bakal beraksi dalam acara endurance (men elite point race), akan memulakan saingan pada Isnin.

“Saya mahukan pingat pada kejohanan ATC kali ini selepas impian itu tidak kesampaian pada kejohanan yang sama di New Delhi sebelum ini apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

“Saya berharap kali ini ia akan membuahkan hasil dengan kejayaan meraih pingat sekurang-kurangnya gangsa dan sudah bersedia untuk memulakan kayuhan cemerlang apabila turun memulakan saingan pada Isnin nanti,” kata Azim, hari ini.

Pelumba kelahiran Seremban ini percaya menerusi bimbingan jurulatih Amir Mustafa Rosli dan pengalamannya beraksi dalam banyak kejohanan tempatan serta antarabangsa, dia mampu memberikan cabaran lebih bermakna pada edisi di tempat sendiri tahun ini.

“Saya mendapat sokongan bukan sahaja daripada jurulatih dan rakan pelumba, tetapi juga ahli keluarga terutama ibu dan ayah. Mereka memberikan rangsangan dan motivasi tinggi untuk saya mencapai prestasi terbaik di pentas ATC kali ini.

“Saya berharap persiapan terbaik yang dilakukan kali ini mampu mencapai impian berkenaan,” katanya yang pernah menjalani latihan peringkat tertinggi di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) di beberapa negara antaranya Belgium, Australia dan United Kingdom.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Shah Firdaus bakal tampil dengan strategi baharu

NILAI: Pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak mahu menjadikan alasan penggunaan gear basikal lebih kecil untuk tidak menyerlah pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 di Velodrom Nasional di sini mulai esok hingga 27 Februari ini.

Muhammad Shah Firdaus, 29, bagaimanapun mengakui perubahan itu sedikit mengganggu kayuhan kerana menjadikan basikal lebih ringan dan memaksanya lebih bergantung pada kaki kiri berbanding kaki kanan akibat kecederaan lutut yang masih belum pulih sepenuhnya.

Beliau turut mengakui bergantung pada kaki kiri mempunyai risiko tersendiri kerana penggunaan berlebihan boleh meningkatkan kemungkinan kecederaan terutamanya selepas pernah mengalami kecederaan pada kaki itu sebelum ini.

“(Kecederaan) itu memang sangat mengganggu sebab sebelum ini saya guna gear besar, jadi bila tiada kecederaan kita boleh kayuh sepanjang perlumbaan tapi sekarang bila gear kecil pasti ringan sikit. Jadi bila nak buat pecutan ia akan merencatkan saya punya kayuhan.

“Bila kaki kanan saya naik dulu, saya tak boleh kayuh, jadi kena tunggu sampai kaki kiri naik baru boleh mula kayuh. Untuk acara pecut, lawan tidak kisah kau pakai kaki kiri atau kanan, bila dia nak pecut dia pecut. Saya faham itu adalah semula jadi (berbasikal),” katanya kepada Bernama ketika ditemui di venue rasmi kejohanan di sini.

Muhammad Shah Firdaus menegaskan perbincangan bersama pasukan selepas sesi latihan memainkan peranan penting dalam persediaannya kerana melalui pertukaran pendapat, beliau dapat membuat pemilihan gear basikal lebih tepat bagi memastikan prestasi terbaik di hadapan penyokong tanah air.

Beliau turut mengakui pasukan Jepun menjadi antara pencabar utama yang perlu diberi perhatian memandangkan mereka menampilkan barisan pelumba terkuat yang sentiasa konsisten pada kejohanan berprestij seperti ini.

“Kebanyakan pelumba hebat dihantar dalam acara pecut dan keirin, dan sepatutnya Jepun boleh hantar tiga pelumba untuk acara keirin tapi dia hantar dua sahaja. Bagi saya satu kelebihan untuk kita sebab kalau boleh nak elak jumpa mereka bertiga di final sebab susah,” katanya.

Muhammad Shah Firdaus tetap melihat perkara itu sebagai optimis kerana berasakan ini adalah antara persiapan yang boleh dijadikan ‘panduan’ untuk ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Ketua jurulatih basikal trek kebangsaan Harnizam Basri sebelum ini mengesahkan Muhammad Shah Firdaus akan menyertai acara pecut individu dan keirin lelaki. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Selangor akui cabaran besar SUKMA 2026 tanpa venue utama

SHAH ALAM: Selangor mengakui ketiadaan venue utama dalam penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor tahun hadapan menjadi cabaran besar yang perlu dihadapi.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi, bagaimana pun berkata, kerajaan negeri sudah mengenalpasti beberapa venue sedia ada yang boleh digunakan untuk menjayakan SUKMA Selangor 2026.

“Antara cabaran utama yang dikenalpasti dalam persiapan negeri Selangor sebagai tuan rumah temasya SUKMA 2026 adalah ketiadaan venue utama untuk penganjuran itu, memandangkan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dijangka hanya akan siap fasa satu pada pertengahan tahun 2027.

“Dalam mengatasi cabaran itu, venue pertandingan sudah pun dikenalpasti dan ianya masih boleh digunakan bagi memastikan temasya berlangsung dengan jayanya.

“Kerajaan negeri berpandangan tiada keperluan membina infrastuktur sukan yang baharu dan ia dilihat lebih efisyen dan lebih penjimatan. Semua venue pertandingan hanya akan dinaiktaraf dan diperbaiki bagi memastikan mengikut standard ditetapkan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) dan David Cheong Kian Yong (PH-Kajang) berhubung cabaran persiapan SUKMA yang dikenalpasti, jalan penyelesaiannya serta usaha mempertingkatkan prestasi atlet.

Sementara itu katanya, selaku tuan rumah, Selangor sudah pasti mempunyai sasaran untuk muncul juara keseluruhan dengan pada ketika ini, kerajaan melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor sudah mula merangka dan melaksanakan beberapa program bagi meningkatkan prestasi kontinjen.

“Walau bagaimana pun, jumlah sebenar sasaran pingat secara spesifik masih belum boleh diberikan. Ini disebabkan jumlah acara yang akan dipertandingkan pada temasya SUKMA akan datang masih belum dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Lapan sukan dapat dana RM20j

Petaling Jaya: Lapan sukan yang dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik mendapat ‘keistimewaan’ apabila diberi suntikan dana sebanyak RM20 juta untuk Program Pembangunan Sukan Olimpik.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika mengumumkan perkara itu hari ini berkata, lapan sukan yang dimaksudkan adalah terjun, renang, badminton, berbasika, trek, memanah, olahraga, skuasy dan taekwondo.

Jelasnya, tujuan utama suntikan dana daripada Kementerian Kewangan itu diberikan adalah bagi tujuan pembangunan bakat kelapan-lapan acara sukan berkenaan.

“Selalunya aduan yang kami terima adalah kenapa hanya bola sepak menerima banyak dana kerajaan dalam bentuk sokongan kewangan, tetapi tidak untuk sukan-sukan yang dipertandingkan di Olimpik.

“Jadi kami membuat keputusan untuk mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi mendapatkan bajet untuk pembangunan bakat muda untuk lapan Sukan Olimpik terpilih.

“Kami lihat banyak atlet junior yang pergi (ke Olimpik) nampak ada kekurangan. Mungkin kerana kekurangan dana dan pendedahan. Jadi untuk mengatasi masalah ini, kami berikan dana RM20 juta untuk tujuan pembangunan bakat bagi mengenalpasti bakat-bakat di semua peringkat,” kata Hannah selepas merasmikan bengkel Program Pembangunan Sukan Olimpik, hari ini.

Jelas Hannah, peruntukan RM20 juta itu tidak akan diagihkan secara sama rata kepada semua sukan kerana keperluan setiap sukan adalah berbeza.

Katanya, dana berkenaan akan membuka lebih banyak peluang kepada atlet muda untuk menonjol dan memastikan Malaysia tidak ketandusan bakat di masa hadapan.

“Kami mahu melihat hasil daripada pelaburan ini dan membuktikan bahawa dana yang diberikan mampu membawa perubahan besar kepada prestasi sukan negara di peringkat Olimpik,” katanya lagi.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
SUKMA Selangor 2026 dijamin bebas elemen ‘pelangi’

SHAH ALAM: Selangor tidak akan menormalisasikan budaya songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) atau unsur negatif dalam sebarang acara sukan yang dipertandingkan mahupun persembahan sepanjang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di negeri ini, tahun hadapan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan semua pihak berwajib bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku.

“Untuk penganjuran SUKMA 2026, kita mengambil ketetapan dan menjamin tidak akan ada sebarang unsur-unsur promosi atau normalisasi budaya-budaya LGBT.

“Jadi untuk Selangor kita tegas, konsisten dan komited untuk memastikan sebarang bentuk, elemen normaliasi kepada fahaman dan budaya LGBT ini tidak akan kita sokong dan kita akan banteras dengan kerjasama dan dokongan daripada pelbagai agensi.

“Insha Allah dalam kejohanan sukan kita dan penganjuran acara kita, kita akan pastikan tiada sebarang bentuk normalisasi terhadap budaya dan fahaman ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan soalan tambahan Abbas Salimmi Azmi (PH-Sri Serdang) berhubung pendirian kerajaan dan Majlis Sukan Negeri (MSN) dalam penganjuran SUKMA 2026 agar tidak dipengaruhi unsur negatif dan memastikan acara persembahan hiburan semasa temasya sukan itu terkawal.

Pada masa sama, beliau menegaskan, atlet lelaki mahupun wanita hanya boleh menyertai pertandingan sukan mengikuti jantina masing-masing sahaja pada SUKMA Selangor.

“Kalau kita lihat kejohanan sukan sebelum ini seperti Olimpik di Paris sebelum ini, yang mana atlet yang secara biologi lelaki boleh bertanding dalam sukan wanita.

“Jadi dalam SUKMA di Selangor kita akan memastikan satu garis panduan bahawa hanya lelaki asli yang boleh masuk bertanding dalam kategori lelaki dan perempuan asli boleh masuk bertanding dalam kategori perempuan. Ada dua sahaja, lelaki atau perempuan, selain daripada itu perlu rawatan,” katanya.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PEMBELIAN PERALATAN SUKAN PARA TAEKWONDO  BAGI TAHUN 2025

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Wilayah Persekutuan dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

030501 – PERALATAN SUKAN
030101 – PAKAIAN SUKAN DAN AKSESORI

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/003 /2025 (S)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBELIAN PERALATAN SUKAN PARA TAEKWONDO BAGI TAHUN 2025
TARIKH BUKA : 21 FEBRUARI 2025 (JUMAAT)
TARIKH TUTUP : 28 FEBRUARI 2025 (JUMAAT)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut:-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Nurul Fitriatul Adnain (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929022

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tang Jie idam cemerlang di Terbuka England

Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berharap dapat meraih kejayaan lebih membanggakan pada saingan Seluruh England bermula 11 hingga 16 Mac depan yang juga kejohanan berstatus Super 1000 selepas terlepas untuk melangkah ke pentas final Terbuka Malaysia, bulan lalu.

Pada aksi Terbuka Malaysia, kejohanan pertama bersatus Super 1000 musim ini, Tang Jie-Ee Wei tewas kepada beregu China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.

Sedar tidak mempunyai keputusan yang baik di Seluruh England, Tang Jie berharap mampu meraih keputusan cemerlang di kejohanan cukup berprestij dan penuh bersejarah itu.

“Setakat ini kami tak pernah raih keputusan yang bagus (di Seluruh England). Bagi saya, suasana beraksi di Seluruh England sangat berbeza sebab kejohanan ini antara yang tertua.

“Apabila masuk ke gelanggang, kadang-kadang kami rasa keliru adakah ia kejohanan Asia kerana ramai pemain Asia (yang bagus) beraksi di Seluruh England.

“Apapun, kami sangat bermotivasi untuk tingkatkan prestasi di kejohanan itu nanti,” katanya.

Pada saingan Seluruh England tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei yang kini menduduki ranking keempat dunia, tersungkur di pusingan 16 selepas tewas di tangan lawan dari Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek.

Selain Terbuka Malaysia dan Seluruh England, dua lagi kejohanan bertaraf Super 1000 adalah Terbuka Indonesia pada Jun dan Terbuka China, Julai depan.

Sebelum beraksi di Seluruh England, Tang Jie-Ee Wei dijadualkan akan turun pada Masters Orleans yang menyaksikan mereka pernah muncul juara pada 2023 yang juga gelaran pertama dimenangi mereka dalam Jelajah Dunia BWF.

Kejohanan bertaraf Super 300 itu akan berlangsung di Perancis pada 4 hingga 9 Mac.

Majlis Sukan Negara Malaysia