Seremban: Bintang berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri sudah sedia memulakan cabaran pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025, yang akan membuka tirainya di Velodrom Nasional, Nilai, Sabtu ini.
Selepas dinobatkan selaku juara acara pecut pada Siri Satu Piala Presiden 2025, bulan lalu, pelumba berusia 22 tahun itu sudah menetapkan sasaran peribadi sendiri dalam penyertaan keempatnya di kejohanan berprestij itu sejak 2022.
“Saya akan mengambil bahagian dalam empat acara pada ATC kali ini dan mahukan pingat dalam kesemua acara berkenaan. Walaupun cabaran dalam setiap perlumbaan berbeza dan sukar dijangka, namun saya mahukan kejohanan edisi kali ini medan untuk mencipta kecemerlangan.
“Kejayaan meraih dua emas pada edisi lalu di New Delhi, akan saya jadikan azimat bagi meneruskan momentum kecemerlangan apa lagi ia beraksi di laman sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dia turut memaklumkan persiapannya sudah mencecah 100 peratus dari segi fizikal dan mental dan kini fokus diberikan hanya untuk perlumbaan.
Untuk rekod, pelumba berasal dari Kedah itu mencipta sensasi apabila menamatkan kemarau 12 tahun tanpa emas dalam acara keirin dan 500 meter ujian masa di ATC 2024 di New Delhi, India.