Kuala Lumpur: Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) hanya mengiktiraf rekod dunia dalam kejohanan yang dikendalikan oleh badan induk itu.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Mejar (B) Jasni Shaari berkata, ISSF sudah memberikan penjelasan mengenai perkara itu dan kebanyakan penganjur memahami situasi itu.
Beliau berkata, kejohanan yang dianjurkan di rantau Asia mahupun di mana-mana tempat, mereka tetap mengikut segala peraturan ditetapkan ISSF cuma bezanya dikendalikan oleh pihak tuan rumah itu.
“Contohnya Kejohanan Rifel/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok, kita mengikut undang-undang ISSF tapi tidak dikendalikan oleh badan induk itu sebaliknya dibantu oleh Konfederasi Menembak Asia.
“Jadi mereka bekerjasama untuk menjalankan kejohanan itu mengikut peraturan yang sudah ditetapkan oleh pihak ISSF. Contohnya seperti Kejohanan Dunia dan Piala Dunia, itu memang sepenuhnya dikendalikan oleh ISSF dan siapa buat rekod di situ, akan diakui,” katanya kepada Arena Metro.
Selain itu, beliau berkata, kekangan bajet menjadi faktor utama kenapa kebanyakan penganjur tidak melantik wakil ISSF untuk mengendalikan kejohanan itu.
Katanya, untuk memanggil mereka dan kendalikan kejohanan itu, ia memerlukan sumber kewangan besar selain terdapat beberapa peraturan lain yang mesti diikuti oleh pihak penganjur.
Terdahulu, Jasni Shaari menyatakan persatuan tidak akan membuat sebarang rayuan kepada ISSF untuk mengiktiraf pencapaian penembak negara, Alia Sazana Azahari sebagai rekod dunia.
Pada Ahad lalu, penembak berpengalaman itu berjaya memecahkan rekod Asia sekali gus membidik emas dalam acara 25m pistol wanita pada Kejohanan Rifel/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok.
Dalam aksi final di Lapang Sasar Menembak SAT, Alia Sazana membidik 44 hit daripada keseluruhan 50 sasaran sekali gus memadam rekod Asia iaitu 41 hit yang dicipta penembak Korea Selatan, Yang Jiin pada Kejohanan Menembak Asia 2024 di Jakarta.
Malah pencapaian itu mengatasi rekod dunia rasmi milik atlet Korea Selatan, Kim Ye-ji dengan 42 hit yang dilakukan di Piala Dunia ISSF 2024.