Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Isaac, Esther sandaran Malaysia

Kuala Lumpur: Dua atlet triatlon terbaik negara, Isaac Tan dan Esther Joy Chen bakal menjadi sandaran Malaysia dalam saingan Piala Asia Triatlon (ATC) Putrajaya yang kembali untuk edisi kedua di Kompleks Sukan Air Putrajaya, Sabtu dan Ahad ini.

Kejohanan itu turut menyaksikan penyertaan tiga atlet Olimpik Paris 2024, Max Struder dari Switzerland, Jason Ng (Hong Kong) dan Barbaros Riveros (Chile), sekali gus menjanjikan persaingan sengit.

Perlumbaan kali ini membabitkan jarak pecut dengan gabungan renang sejauh 750 meter, berbasikal 20 kilometer dan larian 5 kilometer.

Antara nama besar dalam kelompok 10 terbaik Asia yang turut bertanding adalah Robin Elg dari Hong Kong (No 8) dan wakil Jepun, Kyotaro Yoshikawa (No 10), kedua-duanya antara pencabar utama gelaran lelaki.

Bagi kategori wanita, saingan dijangka dikuasai bintang Asia seperti Bailee Brown dari Hong Kong (No 3), Sato Yoshiko (No 9) dari Jepun dan Jeong Hye-rim (No 10) dari Korea Selatan.

Turut menjadi perhatian adalah atlet Indonesia, Martina Ayu Pratiwi, yang menjuarai pusingan pembukaan musim ATC di Chennai minggu lalu.

Dalam kategori lelaki, atlet berpengalaman Riki Shinozuka, pemenang pingat perak Sukan Sea Singapura 2015 serta bintang muda Yap Qi Yi, bakal memberi tentangan hebat.

Manakala dalam kategori wanita, Esther akan disertai kakaknya, Sara Joy, bersama Teo Sze Hui dan Ng Wen May, yang mahu membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.

Selain mencabar kehebatan atlet luar, pertarungan sesama atlet tempatan dijangka sengit kerana ATC Putrajaya turut diiktiraf sebagai Kejohanan Kebangsaan serta salah satu acara pemilihan ke Sukan Sea Thailand 2025 pada Disember nanti.

Presiden Malaysia Triathlon, Tony Tan berkata, kejohanan itu kini memasuki tahun kedua dan mendapat sokongan penuh daripada badan induk antarabangsa.

“ATC Putrajaya 2025 adalah perlumbaan pertama di Asia Tenggara tahun ini dan sangat penting kerana ia juga menjadi medan pemilihan ke Sukan Sea Thailand serta Sukan Belia Asia.

“Banyak negara, termasuk Malaysia, menggunakan acara ini sebagai sebahagian daripada proses pemilihan dan kelayakan atlet mereka. Oleh itu, perlumbaan ini juga berfungsi sebagai Kejohanan Kebangsaan,” katanya.