Kuala Lumpur: Meskipun mengalami kecederaan lutut, pelumba trek negara, Shah Firdaus Sahrom tetap menunjukkan semangat juang tinggi apabila bakal tampil dalam dua acara pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Nilai dari 21 hingga 27 Februari ini.
Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, Harnizam Basri memaklumkan, selepas mengadakan perbincangan bersama pengarah teknikal program berbasikal negara, John Beasley, mereka memutuskan agar Shah Firdaus tetap turun dan berlumba pada kejohanan ACC kali ini.
Jelasnya, keputusan itu bertujuan untuk memastikan kedudukan ranking dunianya kekal tinggi, sekali gus membuka peluang lebih cerah untuk layak ke Kejohanan Dunia di Santiago, Chile, pada Oktober ini.
“Shah mengalami kecederaan di lutut sejak dua minggu lalu. Kami sudah melakukan imbasan MRI pada Jumaat lalu. Namun, dia tidak memerlukan sebarang suntikan untuk berlumba.
“Kami memutuskan untuk menurunkannya dalam acara pecut individu dan keirin di ACC. Dia kini berada di kedudukan ke-10 ranking dunia dan matlamat kami untuk mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 10 terbaik.
“Sasaran untuk Shah sekurang-kurangnya menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik bagi acara pecut individu dan, jika boleh, mara ke final acara keirin untuk mengutip mata ranking yang baik.
“Dia masih boleh berlumba, tetapi dalam keadaan sakit. Berkemungkinan dia perlu mengambil ubat tahan sakit ketika berlumba. Namun, dia sudah menyatakan dengan jelas bahawa dia mahu berlumba,” katanya.
Untuk makluman, kejohanan peringkat benua seperti ACC menawarkan mata ranking UCI yang tinggi, menjadikannya rebutan setiap pelumba bagi mendapatkan kedudukan terbaik.
Dengan keadaan Shah yang kurang baik ketika ini, Harnizam menetapkan sasaran lebih jelas iaitu tiga pingat tanpa warna untuk skuad negara menerusi keirin wanita serta acara pecut berpasukan lelaki dan wanita.