Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Alia Sazana kembali ke puncak prestasi

Kuala Lumpur: Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) gembira dengan pencapaian Alia Sazana Azahari yang bukan sahaja membidik emas, malah memecahkan rekod Asia dalam acara 25 meter (m) pistol wanita pada Kejohanan Rifle/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok, semalam.

Menurut Setiausaha Kehormat NSAM, Jasni Shaari apa yang diraih Alia Sazana itu adalah sesuatu yang membanggakan dan dinanti-nanti selepas prestasi mendatar sejak tahun lalu.

“Sebab kita tunggu juga (prestasi terbaik), tahun lalu dia seperti mendatar, bukan kata tak bagus. Dia nampak kebaikan dari situ dan apa yang dimiliki,” katanya.

Ujar Jasni, kejayaan penembak berusia 33 tahun itu diraih ketika di kemuncak prestasi dan kemungkinan besar melayakkannya beraksi di Sukan Sea Thailand hujung tahun ini.

“Bila dia sampai di kemuncak prestasi pada waktu yang betul, dia mampu untuk mencatat markah tinggi. Tidak ada masalah buatnya untuk sampai ke kemuncak prestasi terlalu awal memandangkan Sukan Sea hanya berlangsung hujung tahun ini.

“Apa yang perlu dilakukan hanya perlu terus berlatih. Kita akan memastikan dia sampai ke puncak prestasi sekali lagi hujung tahun nanti,” katanya.

Pada pusingan final di Lapang Sasar Menembak SAT, Alia Sazana membidik 44 hit daripada keseluruhan 50 target, sekali gus memadam rekod Asia iaitu 41 hit yang dicipta oleh penembak Korea Selatan, Yang Ji In, pada Kejohanan Menembak Asia 2024 di Jakarta.

Pingat perak menjadi milik penembak Korea Selatan Lee Siyoon dengan catatan 32 hit manakala Teh Xiu Yi dari Singapura menamatkan podium selepas mencatatkan 28 hit untuk memenangi pingat gangsa.

Ini adalah emas kedua Malaysia dalam kejohanan itu selepas Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin mendominasi acara 10m air pistol wanita dengan 239.3 mata, Khamis lalu.

Kejohanan yang bermula pada 9 Februari itu akan berlangsung sehingga 22 Februari.