Langkawi: Pelayar olimpik negara, Khairulnizam Mohd Afendy sukar digugat apabila mengungguli kelas Laser Standard (ILCA 7) pada Regata Perdana Antarabangsa Langkawi (LIRP) 2025 di sini, hari ini.
Atlet ke Sukan Olimpik sebanyak empat kali, di London 2012, Rio 2016, Tokyo 2020 dan Paris 2024 beraksi konsisten mengutip 15 mata, rakan senegara, Muhammad Faizal Ahmad Asri (19 mata) di tempat kedua.
Tempat ketiga kelas itu turut menjadi milik atlet pelayaran negara yang juga juara bertahan, Muhammad Asnawi Iqbal Adam menerusi 27 mata.
Bagi kategori ILCA 6 Lelaki, dua beradik dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Othman Al-Hammadi dan adiknya, Mohamed Al-Hammadi menduduki tempat pertama dan kedua selepas masing-masing mengumpul 16 dan 17 mata.
Rakan senegara mereka, Majed Almarzooqi menduduki tempat ketiga kelas sama dengan catatan 28 mata.
Nur Alia Amera Mohamad Latif dari Pahang muncul juara ILCA 6 Wanita selepas meninggalkan dengan keleibihan lima mata ke atas peserta tempat kedua, Dhuha Albeshr (17 mata) dari UAE.
Tempat ketiga kelas itu disandang Nur Adlina Nasreen Mohd Nasri dari Perlis dengan catatan 29 mata.
Kelas RS One Lelaki pula menyaksikan dua atlet dari Kedah, Rayyan Mirza Azman dan Riayadh Adief Rozaidi menduduki tempat pertama dan kedua selepas masing-masing mengumpul sembilan dan 17 mata.
Tempat ketiga kelas itu dimenangi pelayar Pahang, Mohamad Adam Aizat Mohd Shahril Pini menerusi catatan 29 mata.
Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen, pelayar dari Terengganu muncul juara kelas RS One Wanita menerusi catatan sembilan mata, Marcella Wilson Villaceran (Sabah, 16 mata) di tempat kedua.
Tempat ketiga kelas itu menjadi milik Nur Kamelia Ahmad Zulkifli dari Pahang menerusi catatan 26 mata.