Kuala Lumpur: Status terkini sama ada bakal ada pertambahan atau penyingkiran atlet dalam program Road To Gold (RTG) hanya akan diketahui selepas mesyuarat jawatankuasa baharu program itu yang akan diadakan pada Mac ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau turut memaklumkan pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini struktur jawatankuasa RTG yang baharu termasuk persoalan mengenai atlet.
“Kita akan buat (mesyuarat) dan kemungkinan akan diumumkan pada Mac ini. Tunggu pengumuman rasmi.
“Selain itu, kita sedang meneliti perkara berkenaan (tambah atau gugur atlet) dan ia bergantung kepada barisan jawatankuasa untuk kita bincangkan perkara itu,” katanya.
Selain itu, Hannah turut mengadakan pertemuan dengan beberapa atlet untuk berbincang mengenai tawaran itu untuk diserapkan di dalam program berkenaan.
“Parlimen baru bermula dan saya sedang aturkan beberapa pertemuan termasuk Lee Zii Jia (perseorangan profesional lelaki), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani (beregu profesional lelaki) dan Datuk Mohd Azizulhasni Awang (basikal trek),” katanya.
Jawatankuasa RTG bersidang buat kali terakhir pada November tahun lalu sekali gus menutup akaun bagi kitaran RTG.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Hannah dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.