Kuala Lumpur: Kekalahan di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China itu memberi pengajaran amat berguna buat barisan pemain untuk terus mempertingkatkan usaha bagi menghadapi kejohanan akan datang.
Jurulatih perseorangan lelaki negara, K Yogendran berkata, meskipun gagal melepasi peringkat kumpulan pada edisi kali ini, beliau masih berbangga dengan semangat juang anak buahnya dalam setiap perlawanan.
“Pasukan Malaysia tidak masuk suku akhir kali ini, tapi keseluruhannya saya rasa berpuas hati dengan pemain yang diturunkan. Mereka sudah berikan yang terbaik dan kalah menang itu satu permainan.
“Mesti ada kalah dan menang. Memang kita tidak gembira kerana kita kalah tapi kita tidak boleh terlalu kecewa sampai tidak boleh bangkit. Jadi kita akan mengambil ini sebagai satu pengajaran dan kita akan belajar di mana kelemahan kita. Balik nanti, kita kuatkan kelemahan itu untuk menjadi pemenang pada kejohanan seterusnya,”katanya.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao cuba menghidupkan peluang Malaysia ke pusingan seterusnya dan berjaya menang perlawanan ketiga untuk mendapatkan mata pertama.
Namun itu bukanlah sesuatu yang mudah apabila dirinya turun dengan tekanan agak tinggi dalam perlawanan itu.
“Bagi saya, hanya berikan yang terbaik dalam permainan walaupun ada ketinggalan 20-17 tapi saya hanya fikir macam mana untuk dapat mata.
“Bila cakap berkenaan tekanan, pasti ada tapi cara untuk mengurangkan tekanan itu yang penting. Jadi dari situ, saya cuba fokus setiap mata demi mata,” katanya.
Terdahulu, skuad badminton negara tidak berjaya mara ke suku akhir selepas tewas 2-3 kepada Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan B hari ini sekaligus menamatkan saingan ditangga terakhir.
Dua mata penting dalam perlawanan itu disumbangkan oleh Jun Hao yang mengalahkan Y Marcellyno 11-21, 22-20, 21-12 dan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun selepas menang ke atas Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 25-27, 21-17, 23-21.
Sementara itu, beregu campuran berpengalaman negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, K Letshanaa (perseorangan wanita) dan Teoh Mei Xing-Go Pei Kee (beregu wanita) pula tewas kepada lawan masing-masing.