KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita kebangsaan, K Letshanaa menuntut prestasi lebih baik daripada rakan sepasukannya pada aksi kedua peringkat Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China.
Selepas tersentak dengan kekalahan beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin kepada gandingan Hong Kong, Tang Chun Man-Ng Tsz Yau pada perlawanan pembukaan, Letshanaa menjalankan tugasnya dengan baik apabila menang straight set 21-18, 21-18 ke atas S Mehta.
Sekalipun berdepan Mehta yang menghuni ranking lebih rendah (97 dunia), kemenangan itu disifatkan Letshanaa yang menghuni ranking 53 dunia sebagai penting bagi meningkatkan moralnya terutama untuk mengharungi perlawanan berikutnya.
“Ia adalah perlawanan pertama saya di sini dan saya perlu akui ia sukar,” kata pemain kelahiran Selangor itu. “Lawan bermain dengan baik tetapi saya lebih konsisten dan berjaya ambil satu mata untuk Malaysia.
“Ketika ini, perasaan saya cukup bagus dan saya berharap kita dapat buat lebih bagus pada perlawanan seterusnya.”
Selepas kedudukan terikat 1-1, harapan yang diletakkan kepada pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh tidak kesampaian apabila pemain ranking 53 itu tunduk kepada pemain Hong Kong yang mengisi ranking 21 dunia, Lee Cheuk Yiu.
Hong Kong mengesahkan mata kemenangan menerusi beregu wanita utama mereka, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam yang mudah menewaskan wakil negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing.
Malaysia kemudian menjadikan kedudukan 2-3 selepas beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menewaskan wakil Hong Kong, Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai.
Lawan negara seterusnya adalah Indonesia pada Khamis ini yang sebelum itu cemerlang meraih kemenangan 5-0 ke atas Hong Hong.