Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 12, 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Letshanaa harap rakan sepasukan bangkit di Qingdao

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita kebangsaan, K Letshanaa menuntut prestasi lebih baik daripada rakan sepasukannya pada aksi kedua peringkat Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China.

Selepas tersentak dengan kekalahan beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin kepada gandingan Hong Kong, Tang Chun Man-Ng Tsz Yau pada perlawanan pembukaan, Letshanaa menjalankan tugasnya dengan baik apabila menang straight set 21-18, 21-18 ke atas S Mehta.

Sekalipun berdepan Mehta yang menghuni ranking lebih rendah (97 dunia), kemenangan itu disifatkan Letshanaa yang menghuni ranking 53 dunia sebagai penting bagi meningkatkan moralnya terutama untuk mengharungi perlawanan berikutnya.

“Ia adalah perlawanan pertama saya di sini dan saya perlu akui ia sukar,” kata pemain kelahiran Selangor itu. “Lawan bermain dengan baik tetapi saya lebih konsisten dan berjaya ambil satu mata untuk Malaysia.

“Ketika ini, perasaan saya cukup bagus dan saya berharap kita dapat buat lebih bagus pada perlawanan seterusnya.”

Selepas kedudukan terikat 1-1, harapan yang diletakkan kepada pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh tidak kesampaian apabila pemain ranking 53 itu tunduk kepada pemain Hong Kong yang mengisi ranking 21 dunia, Lee Cheuk Yiu.

Hong Kong mengesahkan mata kemenangan menerusi beregu wanita utama mereka, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam yang mudah menewaskan wakil negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing.

Malaysia kemudian menjadikan kedudukan 2-3 selepas beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menewaskan wakil Hong Kong, Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai.

Lawan negara seterusnya adalah Indonesia pada Khamis ini yang sebelum itu cemerlang meraih kemenangan 5-0 ke atas Hong Hong.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Shah Firdaus kekal beraksi dalam acara keirin, pecut individu

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom akan kekal beraksi dalam acara keirin dan pecut individu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 di Nilai pada 21 hingga 27 Februari ini, walaupun mengalami kecederaan lutut semasa sesi latihan baru-baru ini.

Ketua jurulatih pasukan berbasikal trek negara, Harnizam Basri berkata berdasarkan keadaan semasa kecederaan yang dialami, atlet berusia 29 tahun itu masih mampu beraksi dalam kedua-dua acara berkenaan.

Bagaimanapun, tahap kecederaan Shah Firdaus akan dinilai semula oleh barisan kejurulatihan selepas acara keirin yang dijadual berlangsung lebih awal berbanding acara pecut individu.

“Shah memang ada alami kecederaan di patela dan tulang bawah lutut. Setakat ini memang kita senaraikan dia untuk dua acara iaitu keirin dan pecut individu.

“Apa yang pasti Shah akan sertai acara keirin sebab acara itu lebih awal pada 22 Februari. Selepas itu kita akan lihat situasi sama ada dia cergas atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, Olimpian negara itu dalam keadaan belum membuat keputusan untuk menyertai acara pecut di ACC 2025.

Shah Firdaus dilaporkan berkata, acara pecut memerlukan kayuhan daripada tahap rendah ke tinggi berbanding keirin yang banyak bergantung kepada taktik dan strategi perlumbaan.

Dalam pada itu, mengenai persiapan skuad negara di kejohanan ACC 2025, Harnizam berkata, semuanya berjalan dengan baik seperti yang dirancang sebelum ini.

Beliau berkata beberapa muka baharu yang cemerlang di Piala Presiden sebelum ini turut akan mengambil bahagian di kejohanan itu.

“Pada edisi kali ini kita senaraikan Mohd Akmal Nazimi Jusena dalam acara pecut berpasukan menggantikan Umar Hasbullah yang diletakkan sebagai simpanan.

“Untuk pasukan wanita pula kita menyenaraikan Nurul Alyssa Farid untuk tiga acara iaitu pecut individu dan berpasukan serta keirin,” katanya.

Pada kejohanan ACC 2024 yang berlangsung di New Delhi India, Malaysia meraih dua emas dua perak dan satu gangsa untuk berada di tempat ketiga keseluruhan di belakang Jepun dan China

Majlis Sukan Negara Malaysia