Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia turunkan barisan terkuat jumpa Hong Kong

Kuala Lumpur: Pasukan badminton negara bakal menurunkan barisan terkuat apabila turun berdepan Hong Kong di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China, esok.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, K Yogendran berkata, barisan kejurulatihan akan membuat analisa pertemuan membabitkan antara Indonesia dan Hong Kong yang berlangsung hari ini sebelum merancang strategi berdepan Hong Kong.

Yogendran berkata, setakat ini semua berjalan dengan lancar dan membuat persiapan rapi selepas mendapat rehat hari ini.

“Kita akan lihat perlawanan antara Indonesia dan Hong Kong. Kemudian kita akan buat persiapan rapi untuk senarai pemain yang akan diturunkan nanti.

“Apa yang pasti kita akan turunkan pemain terbaik dan kita akan cuba untuk memang.

“Saya harap pemain akan pamerkan semangat juang yang tinggi dan beri sepenuh tenaga agar kita dapat menang atasi Hong Kong,” katanya.

Bagaimanapun, pemain dinasihatkan agar lebih berhati-hati kerana Hong Kong kini dibimbing oleh bekas jurulatih negara, Wong Choong Hann, Tan Bin Shen dan Jeremy Gan yang sudah pasti sedikit sebanyak boleh membaca corak permainan pemain negara.

Kali terakhir Malaysia berentap dengan Hong Kong dalam aksi berpasukan campuran adalah ketika pertemuan Peringkat Kumpulan Piala Sudirman 2009 dengan kemenangan memihak kepada pasukan negara 4-1.

Malaysia seterusnya akan berdepan Indonesia, Khamis ini.

Berdasarkan rekod pertemuan kali terakhir Malaysia menewaskan Indonesia adalah di Suku Akhir Piala Sudirman 2021 dengan keputusan 3-2.