Kuala Lumpur: S Sivasangari mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila muncul juara Piala Cincinnati sekali gus meraih gelaran pertama dalam siri Jelajah Skuasy PSA 2024/25 musim ini selepas mengalahkan pilihan kedua, Amanda Sobhy 11-7, 6-11, 7-11, 11-7, 11-4 dalam perlawanan lima set yang penuh mendebarkan.
Sivasangari melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan pilihan utama dan juara bertahan, Olivia Weaver di separuh akhir, manakala Amanda, pilihan kedua dari Amerika Syarikat (AS) mencatat kemenangan ke atas Jasmine Hutton dari England.
Sivasangari mempamerkan corak permainan agresif berbanding lawannya apabila menang set pertama.
Memasuki set kedua Amanda mempamerkan semangat yang tinggi, mengurangkan kesilapan dan memaksa Sivasangari bergerak ke seluruh gelanggang.
Amanda mendahului dengan 8-1 dan walaupun Sivasangari cuba bangkit, Amanda berjaya mengekalkan kelebihan dan memenangi set kedua 11-6.
Dalam set ketiga yang sengit, Amanda memimpin perlawanan namun Sivasangari berjaya mengikat kedudukan 6-6 namun lawan akhirnya berjaya menoktahkan kemenangan di set ketiga untuk mendahului 2-1.
Sivasangari bangkit semula dalam permainan keempat, mengawal permainan dengan cara yang sama seperti dalam set pertama seterusnya membawa perlawanan ke set kelima dan akhirnya muncul juara.
Mengulas mengenai perlawanan itu Sivasangari berkata, dia berasa gembira kerana berjaya merangkul kemenangan pertamanya tahun ini selepas kali terakhir muncul juara di London (Klasik).
“Dapat muncul juara satu perasaan yang sangat hebat. Saya melalui beberapa bulan yang sukar. Mendahului 2-0 dan kemudiannya kalah dalam perlawanan, kalah dalam perlawanan yang sengit, dan saya rasa itu semua adalah proses pembelajaran yang perlu saya lalui untuk menang kali ini.
“Ia datang daripada pengalaman yang saya peroleh dalam beberapa bulan terakhir.
“Menewaskan Olivia Weaver di separuh akhir adalah kemenangan besar bagi saya. Saya tidak pernah mengalahkan Olivia dan itu adalah kemenangan pertama saya.
“Semalam saya beritahu diri saya bahawa tugas belum selesai, saya masih ada satu lagi perlawanan. Saya tidak letakkan tekanan pada diri saya, saya tahu Amanda (Sobhy) adalah pemain yang hebat.
“Saya hanya cuba bermain mata demi mata, fokus pada apa yang perlu saya lakukan di gelanggang dan hasilnya datang dengan sendirinya dan saya sangat gembira kerana ia berpihak kepada saya”.
Siri Jelajah skuasy PSA akan diteruskan dengan kejohanan Terbuka Silver-level Pittsburgh 2025 yang akan bermula dari 12 hingga 16 Februari ini.