Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Waspada cabaran Hong Kong – Rexy

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetap berwaspada ancaman yang bakal diterima pasukan Hong Kong pada aksi pertama peringkat Kumpulan B, Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025, Rabu ini.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, perlawanan sulung itu amat penting untuk mendapatkan kemenangan, namun beliau menyedari ia tidak akan menjadi perlawanan yang mudah buat pasukan negara.

“Kita lihat Hong Kong memang agak bagus dalam acara perseorangan (lelaki) dan untuk perseorangan wanita, kita boleh cakap (peluang) 50-50, namun untuk beregu lelaki tidak boleh terlalu yakin sebaliknya pemain perlu berikan yang terbaik,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya satu kemenangan untuk memastikan slot suku akhir menjadi milik negara.

Jika dilihat pemain yang dibariskan oleh Hong Kong, mereka mempunyai kekuatan pada perseorangan lelaki apabila Angus Ng Ka Long yang berada di ranking ke-20 dunia dan Lee Cheuk Yiu (21) berada dalam skuad itu.

Malah untuk acara beregu wanita pula, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam yang berada di kedudukan ke-13 dunia juga bakal memberi sedikit kelebihan buat mereka.

Sementara bagi kem negara, BAM menyenaraikan pemain nombor 27 dunia, Leong Jun Hao dan Justin Hoh (53) akan mengisi slot perseorangan lelaki, manakala K Letshanaa (53) dan Wong Ling Ching (95) akan memainkan peranan penting dalam kategori perseorangan wanita.

Bagi beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (12) dan Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi (20) bakal menggalas tugas utama mendapatkan mata buat Malaysia.

Teoh Mei Xing-Go Pei Kee (49) dan Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui pula akan beraksi dalam acara beregu wanita.

Pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai (4) akan menjadi satu-satunya pemain berpengalaman yang menyertai pasangan beregu campuran negara dan akan dibantu oleh Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (15).

Dua pasangan berpengalaman itu juga menjadi taruhan penting buat kem negara.