Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Misi balas dendam Letshanaa

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita, K Letshanaa ingin memastikan dirinya berada di prestasi terbaik bagi memastikan misi balas dendam ke atas pemain perseorangan wanita Indonesia, Putri Kusuma Wardani tercapai pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025.

Jelasnya, selepas tewas dalam pertemuan sebelum ini, dirinya semakin bersemangat ingin bertemu dengan pemain di ranking ke-14 dunia itu dan berharap mampu memberi saingan sengit dan mendapatkan mata untuk pasukan Malaysia.

“Untuk perseorangan wanita negara, kami akan cuba tampilkan aksi terbaik, sama seperti ketika saya bermain di Indonesia Masters sebelum ini. Kita tunggu dan lihat apa keputusannya nanti.

“Saya pernah bertemu dengannya sebanyak dua kali sebelum ini, iaitu pada Indonesia Masters dan BATC (Kejohanan Badminton Berpasukan Asia) tahun lalu. Memang saya mahu beraksi menentangnya,” katanya.

Pertemuan itu mungkin akan terjadi selepas Malaysia dan Indonesia diundi berada dalam Kumpulan B bersama Hong Kong dan akan bersaing menjadi dua yang terbaik untuk ke suku akhir.

Selain itu, pemain muda berusia 21 tahun itu prestasinya ketika ini kurang baik dan disebabkan itu, dia cuba meningkatkan intensiti latihan bersama ketua jurulatih perseorangan negara Kenneth Jonassen sambil dibantu oleh Jeffer Rosobin.

“Permainan saya masih ada turun naik dan belum konsisten. Sekarang saya sedang cuba untuk memperbaikinya selain ada berbincang dengan Kenneth kerana kita hanya ada beberapa hari sebelum BAMCT bermula,” katanya.

Kejohanan BAMTC akan membuka tirai pada Selasa depan dengan Malaysia akan bermula dengan aksi pertama menentang Hong Kong pada 12 Februari sebelum turun menentang pasukan pilihan, Indonesia pada keesokan harinya.