Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia terus dapat kepercayaan UCI

KUALA LUMPUR: Malaysia terus diberi kepercayaan untuk menjadi venue bagi program anjuran Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) apabila 14 negara menyertai Kursus Elite National Commisaires (ENC) (basikal bukit) 2025, baru-baru ini.

Bagi Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh, keyakinan diberikan UCI itu secara tidak langsung membuktikan yang Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara penganjur acara berkelas dunia.

“Malaysia sentiasa dipilih UCI untuk penganjuran kursus ENC. Ini membuktikan UCI sangat percaya kehebatan pentadbiran PKBM dalam memastikan kelancaran kursus ENC 2025,” kata Amarjit dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM hari ini.

Amarjit berkata, Malaysia, Indonesia dan Filipina muncul negara yang menghantar lebih daripada seorang komisar ke Kursus ENC 2025 yang dianjurkan pada hujung bulan lalu.

“Malaysia menjadi negara paling ramai menghantar komisar ke Kursus ENC 2025 dengan bilangan seramai empat orang. Indonesia dan Filipina pula menghantar dua komisar,” katanya.

Negara lain yang turut menyertai Kursus ENC 2025 ialah China, Iran, Uzbekistan, India, Hong Kong, Thailand, Oman, Nepal, Mongolia, Brunei dan Kemboja.

Sebelum ini, Malaysia turut sering menerima pengiktirafan daripada Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) untuk menjadi venue ‘kejohanan bertaraf dunia’ ketika menjadi penganjur Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2023.

Malah Malaysia turut sekali lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi tuan rumah bagi ACC 2025 yang akan diadakan di Velodrom Nasional di Nilai dari 21 hingga 27 Februari ini.